AM > BERITA

Sektor Pengangkutan Pemacu Utama Peluang Kerja, Pertumbuhan ASEAN - TPM Fadillah

21/11/2024 05:10 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Sektor pengangkutan muncul sebagai pemacu utama penciptaan peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi di rantau ASEAN, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Berucap pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN ke-30 di sini hari ini, beliau berkata program serantau dan nasional yang diselaraskan untuk meningkatkan infrastruktur pengangkutan bukan sekadar meningkatkan kesalinghubungan malah mewujudkan banyak peluang pekerjaan untuk tenaga kerja mahir tempatan dan rentas sempadan.

“ … apabila sistem pengangkutan cekap ia sekali gus menyediakan peluang ekonomi dan sosial serta faedah lain yang menghasilkan pelbagai kesan positif seperti pelaburan, perdagangan, pelancongan, pembinaan, perancangan bandar serta pembangunan sosial lain.

“Sepanjang beberapa tahun lepas, rantau kita telah menyaksikan pencapaian penting dalam sektor pengangkutan, khususnya dalam kerangka kerja infrastruktur dan dasar,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata inisiatif seperti ASEAN Single Window, Perjanjian Pengangkutan Rentas Sempadan ASEAN dan Rangkaian Lebuhraya ASEAN penting dalam meningkatkan integrasi serantau.

 Beliau berkata pencapaian itu membuktikan dedikasi dan visi kolektif ASEAN.

Mengulas mengenai mesyuarat hari ini yang menumpukan kepada pengukuhan kerjasama dan perkongsian, Fadillah berkata kemajuan ketara yang telah mengubah sektor pengangkutan memberikan impak besar kepada komuniti seluruh ASEAN.

“Sebagai contoh, Pautan Sistem Transit Cepat (RTS) Johor Bahru-Singapura ialah inisiatif infrastruktur utama yang mempunyai implikasi meluas bukan sahaja bagi pengangkutan malah integrasi ekonomi, kerjasama serantau dan kemampanan.

“Impak menyeluruh projek ini bukan sekadar menghubungkan dua bandar. Saya secara peribadi tidak sabar untuk menyaksikan projek RTS siap pada 2026 dan menyaksikan impaknya terhadap rakyat,” katanya sambil mengulangi bahawa perkembangan pengangkutan sering membawa kepada lebih banyak peluang pekerjaan, peningkatan produktiviti selain pengembangan perniagaan tempatan.

Beliau berkata untuk fasa strategi seterusnya pula sektor itu perlu menangani trend mega global, mengutamakan kemampanan, isu alam sekitar, transformasi digital dan kecerdasan buatan.

ASEAN perlu mesti mencorak kerangka kerja dan infrastruktur dasar pengangkutan masa depan yang boleh menangani kerumitan perubahan revolusioner ini di samping tidak mengabaikan trend mega.

"Apa yang penting, dasar pengangkutan, infrastruktur dan kemudahan masa depan mesti dirancang untuk menyokong serta merangkumi komuniti rentan di ASEAN.

“Saya yakin mesyuarat hari ini berfungsi sebagai platform utama untuk kepemimpinan pengangkutan membincangkan landskap sektor pengangkutan masa kini dan masa depan di rantau ini,” katanya.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dalam ucapannya berkata sebagai pengerusi mesyuarat, Malaysia membayangkan pembaharuan komitmen terhadap pelbagai inisiatif pengangkutan ASEAN dan memberikan lebih tumpuan kepada isu-isu baharu muncul dan bidang inovasi.

Beliau berkata kemajuan cemerlang telah dicapai di bawah Pelan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur 2016-2025.

“Daripada dasar serantau mengenai pengangkutan udara dan maritim yang mampan kepada penyelesaian logistik yang canggih, kami meletakkan asas untuk masa depan menyaksikan setiap warga ASEAN mendapat manfaat daripada kesalinghubungan yang lancar,” kata Loke.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan