KOTA BHARU, 21 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kelantan berharap kesemua projek kerajaan Persekutuan yang sedang dilaksanakan di negeri ini dipercepat termasuk ketersediaan infrastruktur agar dapat menarik pelaburan luar.
Menteri Besar Mohd Nassuruddin Mohd Daud berkata Kelantan amat memerlukan pendaya upaya bagi menarik pelaburan berpotensi ke negeri itu melibatkan infrastruktur seperti pembinaan lebuh raya dan menyediakan kawasan industri baharu dilengkapi kemudahan asas.
Beliau berkata projek pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3, penyediaan kawasan industri yang lengkap dan pembinaan Pencawang Masuk Utama di kawasan perindustrian dan pembangunan baharu mampu merancakkan ekonomi Kelantan.
“Kerajaan negeri yakin projek berkenaan dapat meningkatkan keupayaan untuk menarik pelaburan dan meningkatkan taraf hidup penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Sementara itu, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri komited menyediakan rumah mampu milik bagi membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman selesa.
“Sebanyak RM9.6 juta diperuntukkan untuk empat pakej iaitu (di) Bunut Susu, Kampung Gong Kadok, Meranti II dan Telong,” katanya.
Selain itu, sebanyak RM232.45 juta diperuntukkan untuk menyelenggara jalan, perparitan dan jambatan, terminal dan fasiliti pengangkutan awam termasuk Kota Bharu Sentral sebanyak RM7.0 juta.
“Belanjawan 2025 akan terus menyokong pembangunan negeri melalui pelaksanaan projek-projek pembangunan, meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam, rumah mampu milik serta membuka pusat perindustrian baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial