AM > BERITA

DUN Sabah Pilih Edward Linggu Sebagai Ahli Dewan Negara

21/11/2024 06:48 PM

KOTA KINABALU, 21 Nov (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan usul melantik Pengerusi Lembaga Industri Getah Sabah Datuk Edward Linggu sebagai Ahli Dewan Negara bagi mewakili negeri itu untuk tempoh sepenggal selama tiga tahun.

Pemilihan Linggu, 65, yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) bagi menggantikan Senator Datuk Noraini Idris yang akan tamat tempoh perkhidmatan 9 Dis ini.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mencadangkan Linggu untuk jawatan itu dan usul berkenaan disokong Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya kemudian mengesahkan pemilihan Linggu selepas usul itu disokong 53 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). DUN Sabah mempunyai seramai 73 ADUN yang dipilih melalui pilihan raya dan enam ADUN dilantik.

“Saya akan mengesahkan kepada Yang Dipertua Dewan Negara (Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah) mengenai calon yang dipilih itu mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan selamat bertugas,” kata Kadzim.

Linggu daripada etnik Dusun merupakan ADUN Tamparuli selama sepenggal pada 1999 selain pernah menjawat jawatan Pengerusi Perbadanan Pinjaman Sabah. 

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan