BUKIT MERTAJAM, 21 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyerbu dua premis milik sebuah syarikat pemborong di Taman Impian Ria Alma di sini selepas disyaki menyimpan minyak masak peket melebihi kuantiti dibenarkan.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata pihaknya merampas 15,310 kilogram (kg) minyak masak peket bernilai RM58,275, iaitu rampasan terbesar direkodkan agensi itu tahun ini.
Beliau berkata serbuan bermula 2 petang itu dilakukan 13 anggota penguat kuasa hasil maklumat orang awam dan risikan sejak sebulan lepas.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah premis ini memiliki lesen sah untuk memborong minyak masak, tepung gandum dan gula, tetapi jumlah dibenarkan hanyalah 5,000 kg, manakala premis bersebelahan tidak dilesenkan untuk menyimpan barangan terkawal termasuk minyak masak peket.
“Pemeriksaan di kedua-dua premis itu menemukan lebih 15 tan minyak masak peket dipercayai cuba diseleweng untuk diedarkan kepada peruncit dan restoran namun siasatan masih dijalankan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan hari ini.
Jegan berkata pihaknya turut menahan lelaki warga tempatan berusia 47 tahun yang juga pemilik premis bersama dua pekerja warga Bangladesh berusia 40 tahun.
Ketika serbuan mereka sedang memindah masuk bekalan ke dalam lori disyaki untuk edaran sekitar negeri, katanya.
Beliau berkata semakan pada buku log mendapati ia dikemas kini namun kuantiti bekalan yang direkodkan tidak sama dengan jumlah yang ditemukan ketika operasi.
“Kita juga telah mengenal pasti pengilang yang disyaki membekalkan minyak masak peket ini kepada syarikat pemborong terbabit,” katanya dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial