AM > BERITA

Sumbangan UM Dalam Pendidikan, Penyelidikan Pacu Kemajuan ASEAN - To Lam

22/11/2024 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam To Lam hari ini mengiktiraf dan memuji sumbangan cemerlang Universiti Malaya (UM) dalam pendidikan serta penyelidikan yang memberikan manfaat transformatif di seluruh rantau ASEAN.

Dalam syarahan umum di Asia-Europe Institute UM di sini hari ini, Lam berkata universiti ini telah memainkan peranan dalam memajukan pembangunan serantau melalui pelbagai bidang termasuk teknologi, perubatan, sains alam sekitar dan pengajian antarabangsa.

“UM berperanan sebagai hab ilmu utama dalam komuniti ASEAN maka tidak menghairankan ramai pelajar dari Vietnam dan negara lain memilih untuk belajar dan menjalankan penyelidikan di sini,” katanya.

Beliau berkata pembangunan dan kejayaan UM mencerminkan perkembangan kejayaan Malaysia sejak mencapai kemerdekaan hampir tujuh dekad lepas.

“Negara anda telah muncul sebagai contoh terbaik untuk kedinamikan dan inovasi, disokong ekonomi yang menjanjikan, pelbagai serta mampan. Peralihan daripada ekonomi berasaskan agraria, Malaysia sudah melalui transformasi luar biasa untuk muncul sebagai hab industri, perdagangan dan kewangan di peringkat serantau mahupun global,” katanya.

Lam juga memuji kejayaan Malaysia dalam sektor seperti minyak dan gas, elektronik, perkhidmatan dan pelancongan sambil menyifatkan kejayaan itu mencetuskan inspirasi bagi negara-negara ASEAN termasuk Vietnam. 

Syarahan umum berkenaan dihadiri kira-kira 200 peserta dan diadakan sempena lawatan Lam ke universiti tertua di Malaysia itu.

Sementara itu, Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman dalam ucapan alu-aluannya menyentuh mengenai  komitmen universiti untuk memupuk kerjasama lebih erat antara Malaysia dan Vietnam.

“UM sungguh berminat untuk memainkan peranan penting dalam hubungan ini, bertindak sebagai jambatan berkongsi pengetahuan, penyelidikan dan inovasi. Lawatan dan syarahan umum hari ini amat penting dan istimewa kerana ia  lambang pengukuhan hubungan bukan sahaja antara dua negara bahkan juga antara institusi akademik dan kebudayaan,” katanya.

Noor Azuan turut berkongsi cadangan universiti itu untuk menubuhkan Pusat Kelestarian Kebudayaan dan Ekonomi Universiti Malaya-Vietnam, platform yang bertujuan menggalakkan kerjasama dalam bidang penting bagi manfaat bersama.

Lam yang ditemani isterinya Ngo Phuong Ly dan delegasi lain tiba di sini semalam untuk lawatan kerja tiga hari. Ini lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak dipilih sebagai Ketua Parti Komunis Vietnam pada Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan