AM > BERITA

Pembentangan RUU Pekerja Gig Ditangguhkan - Fahmi

22/11/2024 06:43 PM

PUTRAJAYA, 22 Nov (Bernama) -- Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig ditangguhkan untuk membuka ruang dan peluang bagi lebih banyak sesi libat urus dengan pihak berkepentingan, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini telah dimaklumkan bahawa Menteri Sumber Manusia Steven Sim berhasrat untuk menangguhkan dahulu pembentangan RUU itu yang dijadual dibentang di Parlimen pada Disember depan.

“Saya sahkan bahawa ada dibincangkan perkara ini (dalam Mesyuarat Jemaah Menteri). Penangguhan ini bagi memberi ruang agar lebih banyak proses libat urus dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan maklumat lanjut, termasuk tentang garis masa yang berkaitan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan pemain industri gig memohon kerajaan menangguhkan pembentangan RUU berkenaan untuk membolehkan perundingan dan libat urus yang lebih komprehensif diadakan.

Foodpanda, GoGet, Grab, Halo Delivery, Kiddocare dan Lalamove, melalui satu kenyataan bersama semalam, berkata sesi perundingan yang komprehensif dan bersemuka dengan pelbagai pemegang taruh perlu diadakan termasuk syarikat platform, pekerja gig, ahli akademik, dan pakar industri.

Kenyataan itu menyatakan pendekatan berfasa dan inklusif itu, dapat memenuhi keperluan pelbagai segmen ekonomi gig serta mengelakkan masalah tidak diingini seperti cabaran dalam pelaksanaan dasar, ketidakcekapan, halangan pematuhan, peningkatan halangan kemasukan pekerja gig, gangguan perniagaan kepada vendor dan kos pengguna yang meningkat.

Pada 28 Okt lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata satu akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan digubal dalam usaha melindungi kebajikan pekerja di sektor berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, pembentangan RUU berkenaan akan dilakukan Kementerian Sumber Manusia pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang, setelah selesai sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan