AM > BERITA

Syarikat Malaysia Berpeluang Terokai Pasaran Baharu Di Azerbaijan - Duta

24/11/2024 06:00 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 24 Nov (Bernama) -- Malaysia digalakkan untuk menerokai peluang unik yang ditawarkan di Azerbaijan, terutamanya dengan ekonominya yang semakin berkembang, sumber asli yang melimpah, dan landskap ekonomi yang menjanjikan, kata Duta Besar Malaysia ke Azerbaijan Ahmad Kamrizamil Mohd Riza.

Beliau berkata syarikat-syarikat Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan peluang di pasaran baharu, terutamanya dalam pembangunan bandar pintar, dengan memanfaatkan kepakaran mereka dalam bidang utama seperti tenaga boleh diperbaharui, bahan binaan berasaskan tenaga solar, serta sektor elektrik dan elektronik.

 Selain itu, beliau turut menekankan bahawa kepakaran Malaysia dalam perbankan dan kewangan Islam memberikan potensi besar untuk kerjasama dengan Azerbaijan. Malah, sektor perniagaan di Azerbaijan juga berminat terhadap industri halal Malaysia, termasuk sijil halal, di samping peluang dalam teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sektor platform digital.

“Dengan penyelesaian konflik selama 30 tahun dengan Armenia, terdapat potensi besar untuk kerjasama perdagangan dan pelaburan antara perniagaan Malaysia dan Azerbaijan, khususnya dalam pembangunan bandar pintar di wilayah Karabakh.

"Ini membuka peluang masa depan yang cerah untuk hubungan dua hala. Kami mengalu-alukan projek dan kerjasama bersama yang berpotensi untuk memberi manfaat kepada kedua-dua negara pada masa hadapan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pavilion Malaysia sempena Persidangan Pihak Ke-29 (COP29) di bawah Konvensyen Rangka Kerja PBB Mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), baru-baru ini.

Ahmad Kamrizamil berkata hubungan antara Azerbaijan dan Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang luar biasa dan hala tuju yang menjanjikan perkembangan yang  penuh harapan untuk masa depan, sejak menjalin hubungan diplomatik pada 5 April 1993, yang menjadi asas kepada kerjasama yang saling menguntungkan berdasarkan kepentingan bersama dan komitmen terhadap kerjasama dalam pelbagai bidang.

Beliau berkata hubungan antara kedua-dua negara kini, meliputi pelbagai sektor utama, khususnya dalam bidang ekonomi dan perdagangan. Kedua-dua negara telah melaksanakan usaha untuk meningkatkan jumlah perdagangan dua hala serta meneroka peluang pelaburan baharu.

Di samping itu, beliau turut menekankan bahawa bidang pendidikan telah muncul sebagai kawasan kerjasama yang penting, dengan program pertukaran pelajar dan kolaborasi akademik yang memperkukuh kefahaman budaya serta membina kapasiti.

Beliau juga berkata kemajuan dalam teknologi dan inovasi telah membuka peluang baharu untuk usaha sama serta perkongsian pengetahuan antara kedua-dua negara.

“Pelancongan juga merupakan aspek dinamik dalam hubungan ini, dengan kedua-dua negara giat mempromosikan pelancongan budaya dan warisan untuk mempereratkan hubungan rakyat antara rakyat,” katanya.

Beliau berkata lawatan berkala oleh pegawai dan penyertaan dalam acara antarabangsa semakin menyerlahkan penglibatan aktif antara Azerbaijan dan Malaysia, sekali gus menunjukkan komitmen kedua-dua negara untuk mempererat hubungan dan membina kerjasama yang lebih kukuh.

Dari segi ekonomi, Ahmad Kamrizamil berkata jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Azerbaijan masih belum mencapai tahap yang signifikan.

"Berdasarkan sejarah, jumlah perdagangan Malaysia dengan Azerbaijan adalah agak kecil, sebahagiannya disebabkan oleh jarak geografi antara kedua-dua negara serta status Azerbaijan sebagai negara daratan yang tidak mempunyai akses ke laut, sekali gus mengehadkan sambungan logistik dan perdagangan.

"Namun, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan yang menjanjikan, di mana antara Januari dan November 2023, perdagangan dua hala meningkat dengan ketara sebanyak 215.2 peratus, mencapai AS$25.8 juta berbanding hanya AS$8.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Beliau berkata walaupun menghadapi cabaran, peningkatan peratusan yang ketara ini menonjolkan penglibatan ekonomi yang semakin berkembang antara kedua-dua negara.

Selain itu, beliau berkata Malaysia juga mencatatkan lebihan perdagangan, dengan produk eksport utama termasuk barangan berasaskan minyak sawit, produk getah, mesin, peralatan, dan alat ganti, serta produk elektrik dan elektronik serta papan induk dan pemproses komputer.

"Walaupun pertumbuhan ini patut dipuji, ia hanya permulaan kepada hubungan ekonomi yang lebih kukuh. Kedua-dua negara boleh meneroka potensi besar yang masih belum diterokai," katanya.

Ahmad Kamrizamil berkata untuk memanfaatkan momentum ini, Malaysia akan terus meningkatkan penglibatannya dengan agensi kerajaan yang berkaitan serta pihak berkepentingan di Azerbaijan, dengan tujuan mengatasi halangan, memperkukuh kerjasama dan membuka peluang baharu untuk perdagangan dua hala.

"Harapan saya terhadap hubungan Malaysia-Azerbaijan dalam tempoh 10 tahun akan datang adalah untuk memperkukuh dan memantapkan kerjasama yang lebih dinamik, yang dibina atas dasar saling menghormati serta matlamat bersama," katanya.

Beliau berkata seiring dengan fokus Azerbaijan terhadap pembangunan, kedua-dua negara dapat meningkatkan kerjasama dalam bidang seperti perdagangan, pendidikan, teknologi, dan pertukaran budaya.

Penyertaan Malaysia dalam COP29 dari 11 hingga 22 Nov di Stadium Baku bertujuan untuk mengukuhkan komitmennya terhadap ekonomi hijau, seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025.

Delegasi Malaysia terdiri daripada 200 peserta diketuai oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad.

Pavilion Malaysia di COP29, bertemakan ‘Shift for Sustainability: Climate Action Now!’, diterajui oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan kerjasama Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) sebagai agensi pelaksana.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan