AM > BERITA

Di Kelantan Hanya Tiga Pintu Sempadan Diwartakan Yang Dibenarkan Untuk Rakyat Lintas Sempadan - MKN

24/11/2024 04:28 PM

PASIR MAS, 24 Nov (Bernama) -- Mulai 1 Dis ini sesiapa sahaja yang menggunakan laluan haram Sungai Golok-Rantau Panjang untuk melintasi sempadan negara akan ditahan, kata Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Pengurusan Keselamatan) Majlis Keselamatan Negara (MKN) Hamzah Ishak.

Beliau berkata di Kelantan rakyat Malaysia hanya dibenarkan melalui tiga pintu sempadan negara yang diwartakan sahaja untuk melintasi sempadan Malaysia-Thailand, dan sesiapa sahaja yang menggunakan laluan haram untuk kenegara jiran akan ditahan, termasuk pelajar yang bersekolah di Rantau Panjang.

"Undang-undang itu mesti terus dilaksanakan pada 1 Dis, semua isu sempadan telah kita bincangkan termasuklah isu pelajar (pelajar sekolah guna pangkalan haram dari Sungai Golok bersekolah di Rantau Panjang) di bawah KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) juga dibincangkan.

"KPM telah ada strategi dan sebagainya, Insya-Allah kita kena laksanakannya demi kedaulatan dan keutuhan wilayah Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri mesyuarat MKN selama tiga jam di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Berhubung isu pelajar berulang-alik melintasi sempadan untuk ke sekolah menggunakan laluan yang tidak dibenarkan, Hamzah berkata satu mekanisme khusus akan dibincangkan dengan KPM bagi menangani perkara itu.

Beliau berkata perkembangan berhubung perkara itu akan dimaklumkan oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat dari semasa ke semasa.

Sementara itu Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz ketika ditemui berkata bagi mengatasi isu pelajar menggunakan pangkalan haram untuk melintasi sempadan, jabatan pendidikan telah mengadakan perbincangan lanjut seperti akan yang diputuskan.

Beliau berkata dalam perbincangan yang diadakan, beberapa cadangan telah diutarakan, dan semua cadangan itu akan diangkat kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Media sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan