AM > BERITA

Malaysia Julung Kali Dipilih Pengerusi Kumpulan Kerja Peringkat ASOSAI, INTOSAI

25/11/2024 01:26 PM

PUTRAJAYA, 25 Nov (Bernama) -- Malaysia buat julung kalinya telah dipilih untuk mempengerusikan kumpulan kerja dalam komuniti juruaudit di peringkat Asian Organisation of Supreme Audit Institutions (ASOSAI) dan International Organisation of Supreme Audit Institutions (INTOSAI).

Jabatan Audit Negara (JAN) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ia susulan pelantikan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai pengerusi bagi dua kumpulan kerja baharu iaitu ASOSAI Working Group on State-owned Enterprises Audit (WGSOEA) dan INTOSAI Working Group on Follow-up Audit (WGFA).

“Pemakluman keputusan ini telah disampaikan oleh India selaku Pengerusi INTOSAI Knowledge Sharing Committee (KSC) kepada JAN pada pertengahan November 2024.

“Penglibatan dan peranan JAN dalam komuniti juruaudit di peringkat antarabangsa semakin menyerlah dengan pelantikan ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kumpulan kerja berkenaan akan menjadi platform bagi menggalakkan perkongsian pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan ahli INTOSAI dengan matlamat memperkukuhkan impak pengauditan melalui mekanisme susulan audit secara sistematik serta lebih berstruktur.

Sehingga kini, terdapat 65 negara menganggotai INTOSAI dengan Austria, Brazil, China, Mesir dan Georgia telah menyatakan hasrat untuk menjadi ahli dalam kumpulan kerja baharu berkenaan.

Penubuhan kedua-dua kumpulan kerja itu adalah sejajar dengan kelulusan pindaan Akta Audit 1957 (Akta 62) pada 24 Julai 2024 yang antara lain memberi kuasa dan memperluaskan mandat Ketua Audit Negara termasuk pengauditan ke atas perniagaan milikan tunggal (SOE) di peringkat Persekutuan dan negeri serta pelaksanaan susulan audit.

Menurut JAN, penubuhan WGSOEA telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung ASOSAI ke-16 pada 24 Sept 2024 di New Delhi, India. 

“Kumpulan kerja ini adalah inisiatif JAN bagi memantapkan peranan Supreme Audit Institutions (SAIs) dalam pengauditan pengurusan tatakelola SOEs di rantau Asia,” menurut kenyataan itu.

Sehingga kini, 11 negara anggota ASOSAI seperti Jepun, Oman, Qatar dan Rusia telah bersetuju untuk menyertai WGSOEA, manakala 13 lagi negara Asia termasuk China, India, Indonesia dan Thailand menyatakan minat untuk menyertai kumpulan kerja itu.

Penubuhan WGFA pula telah diluluskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengelola INTOSAI ke-78 di Kaherah, Mesir pada 28 Okt 2024.

-- BERNAMA 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan