AM > BERITA

Cadangan Pindaan Akta 588 Dijangka Dibentang Di Parlimen Bulan Depan - Teo

25/11/2024 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Cadangan pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) telah diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat lepas dan dijangka dibentangkan di Parlimen Disember ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata dalam cadangan pindaan itu, evolusi teknologi dan peningkatan tahap penggunaan serta kebergantungan kepada teknologi telah diteliti dan diambil kira bagi menangani ancaman di alam siber.

“Hal ini termasuk isu penyebaran maklumat palsu melalui platform dalam talian sehingga menyebabkan kemudaratan kepada pengguna,” katanya menjawab soalan Riduan Rubin (Bebas-Tenom) sama ada kementerian bercadang menggubal undang-undang komprehensif, inklusif dan sesuai dengan peredaran zaman berkenaan penyebaran maklumat palsu, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian dalam masa terdekat yang bertujuan mengekang aktiviti jenayah dalam media sosial termasuk berita palsu. 

Selain itu, katanya Pasukan Tindakan Khas Menangani Berita Palsu dan 3R (kaum, agama dan raja) turut diwujudkan melibatkan kolaborasi strategik pelbagai jabatan dan agensi antaranya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Jabatan Penerangan, RTM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Teo berkata 21,156 kandungan palsu telah diturunkan penyedia platform media sosial sejak 2022 hingga 15 Nov lepas dengan tindakan itu dibuat berdasarkan pertimbangan dan penilaian penyedia platform itu sendiri mengikut standard komuniti yang telah ditetapkan. 

"Bagi tindakan penguatkuasaan pula, 198 kes bagi elemen palsu telah disiasat dan daripada jumlah itu, lima kes telah didakwa Jabatan Peguam Negara dan dijatuhkan hukuman," katanya.

Menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung kewujudan akaun palsu yang semakin meningkat, Teo berkata satu daripada cadangan pindaan Akta 588 adalah untuk memperkenalkan seksyen baharu bagi mengukuhkan penguatkuasaan.

"Kita percaya dengan seksyen terbabit jika diluluskan Dewan Rakyat ini … pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkuasa untuk minta penyedia platform (media sosial) menzahirkan data tentang pengguna akaun itu dan diharapkan kita bolehlah mempermudah lagi siasatan oleh pihak PDRM," katanya.

Selain itu, beliau berkata amat penting untuk penyedia platform media sosial seperti Meta, ByteDance dan Google untuk mengetatkan lagi garis panduan bagi membuka akaun baharu, seperti mewajibkan pengguna memasukkan nombor telefon masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan