AM > BERITA

Lebih 1,000 Hektar Dibangunkan Bagi Projek Agropolis Negeri Sembilan

25/11/2024 03:16 PM

SEREMBAN, 25 Nov (Bernama) -- Projek Agropolis Negeri Sembilan menunjukkan kemajuan memberangsangkan dengan pembangunan 1,431 hektar kawasan melibatkan peruntukan RM16.5 juta sejak 2021 hingga September lepas.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Pertang) berkata bagi tempoh itu projek tersebut menyumbang 212,617 tan metrik hasil tanaman makanan termasuk buah-buahan, sayuran, tanaman industri berpotensi dan padi bernilai RM815.94 juta.

“Seramai 1,590 penerima manfaat daripada pembangunan teras kedua dalam Rancangan Struktur Negeri Sembilan sekali gus menyaksikan projek ini memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negeri," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Razi Mohd Ali (BN-Sungai Lui) mengenai pencapaian pembangunan pertanian di kawasan agropolis di negeri ini. 

Jalaluddin berkata pembangunan agropolis melibatkan daerah Jempol, Tampin, Rembau dan Kuala Pilah yang turut membantu komuniti desa.

Beliau berkata dalam Belanjawan 2025, kerajaan negeri memperuntukkan RM8.63 juta untuk melaksanakan lapan inisiatif keterjaminan makanan termasuk memperkukuh pembangunan agropolis menerusi penyediaan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Selain itu, Jalaluddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi negeri berkata penanaman kelapa laut di negara ini kurang sesuai diusahakan secara komersial atau dijadikan sumber makanan alternatif.

Beliau yang menjawab soalan P.Gunasekaran (PH-Seremban Jaya) berhubung cadangan menanam kelapa laut di negeri ini kerana mempunyai nilai komersial tinggi, Jalaluddin menjelaskan jenis tanah dan iklim negara tidak sesuai dengan tanaman yang berasal dari Kepulauan Seychelles di Lautan Hindi itu.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan