AM > BERITA

Pelajar Rentas Sungai Golok Akan Ditempatkan Di Asrama - Fadhlina 

25/11/2024 04:28 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) --  Pelajar warganegara Malaysia yang menetap di Thailand, yang dikenal pasti oleh Kementerian Pendidikan (KPM) merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram setiap hari untuk bersekolah di negara ini, bakal ditempatkan di asrama.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata perbincangan sedang dilakukan bersama waris untuk menempatkan pelajar di asrama bersesuaian sebagai langkah menjamin keselamatan dan memastikan pendidikan berterusan kepada mereka.

Beliau berkata tindakan itu antara langkah awal yang diambil terhadap pelajar kelolaan KPM, susulan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam yang mahu menguatkuasakan larangan merentasi sempadan menggunakan pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, bermula 1 Dis ini. 

“Bagi saya, perkara ini mesti diselesaikan sebelum 1 Dis, jadi saya telah minta Ketua Pengarah untuk memastikan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menyediakan asrama. 

“Ini adalah tindakan yang sangat mustahak dan signifikan untuk kita laksanakan bagi memastikan keselamatan mereka (pelajar) terjamin dan pada masa sama, dapat meneruskan pendidikan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kit Duta Sahsiah di sini hari ini. 

Fadhlina berkata antara langkah lain ialah memastikan pelajar terlibat memiliki pas yang sah untuk menyeberangi laluan sempadan yang telah diwartakan.

Media sebelum ini melaporkan hampir 500 murid dan pelajar dari Thailand menggunakan pangkalan haram bagi merentasi Sungai Golok setiap hari untuk ke sekolah di Malaysia.

Antara pangkalan haram yang menjadi tumpuan ialah pangkalan Jambu, Ibrahim Pencen dan Paun dengan caj bot yang dikenakan terhadap pelajar untuk merentas sempadan adalah RM1 seorang. 

Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata KPM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak pentadbir termasuk pengetua sekolah yang didapati menyembunyikan kes pelajar terlibat dadah.

Beliau berkata berdasarkan prosedur operasi standard yang ditetapkan, setiap kes disiplin yang melibatkan jenayah mesti dilaporkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN, sebelum pihak sekolah memulakan perbincangan dengan ibu bapa dan komuniti.

“Jadi tidak boleh menyembunyikan kes, mesti dilaporkan dan kita telah minta PPD dan JPN untuk turut ambil perhatian terhadap isu ini,” katanya sebagai mengulas taktik sindiket pengedaran dadah yang kini menyasarkan pelajar sekolah, termasuk di luar bandar untuk memperluas kegiatan mereka.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Wan Hassan Wan Ahmad ketika berucap pada majlis berkenaan berkata penglibatan pelajar dalam kes jenayah semakin meningkat terutama melibatkan buli dan gangsterisme.

Beliau berkata sepanjang tempoh Januari hingga Jun tahun ini, sebanyak 237 pelajar dikesan terlibat dalam jenayah kekerasan seperti merusuh, ugutan jenayah, pemerasan, gaduh dan khianat. 

“Turut direkodkan bagi tempoh sama ialah sejumlah 799 pelajar dilaporkan telah menjadi mangsa jenayah rogol.

 “Walaupun jumlah itu kecil berbanding jumlah sebenar pelajar sekolah rendah dan menengah yang melebihi lima juta orang, namun tindakan pencegahan penting dilakukan bagi mengekang peningkatan penglibatan pada masa hadapan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan