KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) telah mengambil beberapa langkah bagi mengatasi punca Air Tidak Berhasil (NRW) termasuk melakukan pencarian dan pembaikian paip bocor secara proaktif oleh pasukan khas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Izani Husin berkata AKSB turut menggantikan paip lama jenis simen asbestos (AC) kepada paip baharu seperti polietilena berketumpatan tinggi (HDPE) dan keluli lembut menggunakan dana dalaman dan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
"Bagi mengatasi isu NRW yang berpunca daripada kehilangan komersial pula, AKSB melakukan penukaran meter pengguna yang berusia lebih 10 tahun dan meter yang dikenal pasti bermasalah untuk memberikan bacaan tepat.
"AKSB turut menaik taraf sistem pengebilan bagi mengurangkan ralat semasa proses bacaan meter air pengguna, selain menubuhkan pasukan penguatkuasaan bagi menangani kes kecurian air," katanya ketika menjawab soalan Zuraidin Abdullah (PAS-Chetok) yang bertanya mengenai langkah-langkah diambil AKSB bagi mengurangkan kadar NRW pada persidangan DUN di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sementara itu, menjawab soalan Harun Ismail (PAS-Tawang) mengenai garisan putih di jalan raya yang telah pudar sehingga menbahayakan pengguna, Izani berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri telah mengenal pasti beberapa jalan yang perlu diselenggara dan dikelaskan mengikut keutamaan.
"Setiap tahun, anggaran peruntukan yang dimohon melebihi RM400 juta manakala yang diluluskan adalah sekitar RM120 juta sahaja. Oleh itu, pembaikian berperingkat akan dilaksanakan berdasarkan kepada peruntukan dan mengikut keutamaan berdasarkan kerosakan yang dialami," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial