AM > BERITA

Keadaan Banjir Di Tiga Negeri Tidak Banyak Berubah

26/11/2024 10:04 AM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Keadaan banjir di tiga negeri, Kelantan, Terengganu dan Johor tidak banyak perubahan setakat 9 pagi ini.

Di Kelantan, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 80 orang melibatkan 20 keluarga berbanding 76 mangsa malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, 36 mangsa daripada lapan keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To'Deh di Pasir Mas manakala 44 mangsa lagi (12 keluarga) di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Beris Panchor di Bachok.

Berdasarkan portal Public InfoBanjir, dua sungai utama di Kelantan melepasi paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang dengan ketinggian 8.27 meter manakala Sungai Semerak di Pasir Puteh pada paras 2.35 meter.

Selain itu, dua sungai berada pada tahap berjaga-jaga iaitu Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat dengan ketinggian 2.02 meter dan Sungai Melor di Bachok, 7.01 meter.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan sedikit peningkatan kepada 55 orang berbanding 51 orang malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan 55 mangsa daripada 14 keluarga itu ditempatkan di dua PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Rawai dan Dewan Sivik Merchang.

Sementara itu, semakan di portal InfoBanjir mendapati paras air di tiga lokasi iaitu Parit Utama di Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Besut di Kampung La (F2), Besut melepasi paras waspada.

Di Johor, jumlah mangsa banjir di daerah Segamat masih kekal 28 orang daripada lapan keluarga setakat 9 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa yang terlibat ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak dan setakat ini, hanya satu kawasan yang terjejas iaitu Kampung Seberang Batu Badak. 

“Hanya satu sungai mencatatkan paras amaran iaitu Sungai Kesang di Telok Rimba, Tangkak manakala cuaca pada pagi ini cerah di semua daerah kecuali Mersing berkeadaan mendung,” katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan