AM > BERITA

Pengunjung Serbu Jualan Kasih KEDA MADANI Di Napoh

26/11/2024 06:12 PM

JITRA, 26 Nov (Bernama) -- Jualan Kasih Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) MADANI 2024 di pekarangan Pusat Komuniti Desa (PKD) Napoh, di sini hari ini, menerima sambutan hangat penduduk sekitar yang tidak melepaskan peluang membeli pelbagai barangan keperluan pada harga lebih murah berbanding pasaran.

Walaupun hujan, kira-kira 4,000 pengunjung tetap berpusu-pusu ke program berkenaan yang bermula pukul 9 pagi bagi mendapatkan 53 barangan keperluan yang ditawarkan diskaun sehingga 30 peratus.

Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata program hari ini dilangsungkan berikutan sambutan baik ketika penganjuran di Yan dan Sik sebelum ini yang membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat seterusnya mensejahterakan penduduk luar bandar. 

Beliau berkata acara kali ini sangat meriah dengan jualan kombo RM15 dan jualan happy hour RM10 yang menawarkan tiga barangan iaitu ayam, minyak dan gula, manakala beras turut menjadi tumpuan yang dijual pada harga RM18.20 bagi kampit 10 kilogram dan daging segar RM26.60 sekilogram dengan barangan lain seperti bawang merah, bawang putih, ubi kentang dan cili kering pula ditawarkan secara pakej pada harga RM10.

"Selain jualan barangan keperluan, program berkenaan turut menjadi medium untuk mempromosi dan memasarkan produk 20 usahawan KEDA yang dapat meningkatkan pendapatan peserta terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Pada program itu, KEDA dan FAMA turut menandatangani perjanjian persefahamam (MoU) bagi menjayakan program itu tahun depan dengan peruntukan RM150,000 melibatkan daerah Kulim, Baling dan Padang Terap.

Jamil Khir berkata program berkenaan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk merealisasikan konsep MADANI dalam memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dan memperkasa sektor pertanian.

“Kerjasama ini juga menjadi langkah strategik dalam membuka peluang kepada usahawan KEDA khususnya untuk memasarkan produk mereka dengan sokongan dan kepakaran FAMA.

“Insitiatif ini bukan sahaja memperkukuhkan ekonomi usahawan luar bandar tetapi juga menyokong pembangunan sektor pertanian yang mampan di Kedah,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan