AM > BERITA

HiTS Bantu Perkembangan Kognitif Murid, Kurangkan Berat Badan - Ahmad Zahid

26/11/2024 06:33 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pelaksanaan Program Hidangan Berkhasiat di Sekolah (HiTS) di 277 sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan seluruh negara, menunjukkan hasil positif menerusi pengurangan berat badan dan perkembangan kognitif murid terlibat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata HiTS merupakan satu daripada tiga inisiatif Pelan Strategik Kebangsaan Memerangi Masalah Beban Berganda Malpemakanan (BBM) dalam Kalangan Kanak-Kanak Malaysia 2023-2030.

Beliau berkata HiTS yang melibatkan 2.7 peratus sekolah di negara ini, berperanan menyediakan satu menu berkhasiat dalam kitaran empat minggu untuk murid menggunakan konsep Pinggan Sihat Malaysia.

“Ia bagi memastikan murid mendapat hidangan berkhasiat mengikut keperluan, mengurangkan risiko keracunan makanan dan meningkatkan kecekapan pengurusan penyediaan makanan di kantin,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Memerangi Masalah BBM Dalam Kalangan Kanak-kanak Bil. 2/2024 hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata mesyuarat itu turut membincangkan status pelaksanaan inisiatif melaksana dan memperluas duti eksais kepada minuman bergula tinggi.

Beliau berkata cukai minuman bergula di Malaysia sebanyak 40 sen/liter (pada 1 Julai 2019) yang meningkatkan harga di pasaran sehingga 2.24 peratus, telah mengakibatkan pengurangan pengambilan minuman manis bergula kepada 16.4 peratus dalam kalangan remaja.

“Bagi inisiatif Memantapkan 1,000 Hari Pertama Kehidupan dalam kalangan ibu hamil sehingga anak berusia dua tahun, majlis peluncuran dan sesi dialog bersama 272 pengamal perubatan rangkaian swasta bagi klinik, hospital, makmal, farmasi, komuniti, persatuan dan badan bukan kerajaan telah dilaksanakan 6 Ogos lepas,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat hari ini turut membincangkan kertas pertimbangan Cakna Status Pertumbuhan Kanak-kanak: Komitmen Merentasi Agensi bagi memerangi masalah BBM, selain meneliti keberkesanan pelaksanaan Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta Promosi Program Pemakanan di Sekolah.

Menerusi kenyataan sama, Ahmad Zahid berkata masalah BBM yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak di Malaysia adalah isu kesihatan awam dan perlu ditangani segera kerana memberikan implikasi kepada perkembangan psikomotor, psikologi, Intelligence Quotient, Emotional Quotient dan Social Quotient mereka.

“Kanak-kanak yang mengalami berlebihan berat badan atau obesiti di peringkat awal usia juga adalah lebih berisiko untuk mendapat obesiti dan menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak.

“Mengambil kira implikasi masalah BBM ini dan peningkatan beban kos rawatan penyakit berkaitan pemakanan pada masa akan datang, pihak kerajaan telah melaksanakan pelbagai program dan berharap kerjasama daripada semua pihak merentasi kementerian dan agensi untuk menjayakannya,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan