AM > BERITA

Semua Negara Berhak Perkuat Pertahanan Ketenteraan, Tapi Bukan Tujuan Provokasi - PM Anwar

26/11/2024 06:12 PM

Daripada Mohd Shukri Ishak

SEOUL, 26 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pendirian Malaysia bahawa setiap negara berhak untuk memperkuat program pertahanan negaranya, namun ia bukan bermaksud mereka boleh bertindak melakukan provokasi atau ancaman kepada negara lain.

Perdana Menteri berkata Malaysia tegas mengecam tindakan Korea Utara yang bertindak melancarkan peluru berpandu balistik pada Oktober lepas, yang mengancam keselamatan kawasan Korea Selatan.

“Bagi saya setiap negara mempunyai hak untuk mengadakan apa-apa program pertahanan mereka, tetapi tidak berhak menimbulkan provokasi.

“Ini kerana tindakan ini hanya akan menimbulkan ketegangan rantau,” katanya kepada media Malaysia pada hari terakhir lawatannya ke Korea Selatan sebelum berlepas pulang ke tanah air, petang ini.

Lawatan rasmi pertamanya ke Korea Selatan selama tiga hari sejak Ahad, adalah atas jemputan Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol.

Menurut laporan media tempatan (Korea Selatan), tentera Korea Selatan mendakwa Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak dekat pada awal bulan ini dan ia pelancaran kedua negara itu terhadap Korea Selatan.

Pada hujung Oktober lepas, Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) iaitu bahan api pepejal yang paling maju dan berkuasa dalam ujian senjatanya.

Anwar berkata Malaysia turut menyatakan sokongan terhadap wawasan Presiden Yoon untuk menyatukan Semenanjung Korea.

Pendirian itu disambut baik dan dizahirkan secara langsung oleh Yoon kepada Anwar dalam mesyuarat dua hala kedua-dua pemimpin.

“Presiden Yoon mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada kita yang memberi dukungan kepada dia untuk bergerak ke arah penyatuan Korea, daripada permusuhan dan perbalahan, lebih baik mereka bergerak ke arah penyatuan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan