AM > BERITA

Pencapaian Penting Malaysia Dalam Kesihatan Mulut Akan Dibawa Ke GOHM Bangkok

26/11/2024 06:48 PM

PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Malaysia akan mengemukakan visinya untuk mengintegrasikan kesihatan mulut ke dalam kerangka Liputan Kesihatan Sejagat (UHC) negara semasa Mesyuarat Kesihatan Mulut Global (GOHM) 2024 yang berlangsung dari hari ini hingga 29 Nov di Bangkok, Thailand.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa Malaysia juga akan mengetengahkan pencapaian penting dalam kesihatan mulut, termasuk pelaksanaan Dasar Kesihatan Pergigian Kebangsaan serta Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2022-2030, dan Pelan Strategik Mengurangkan Gula Dalam Kalangan Rakyat Malaysia 2024-2030.

“Program seperti Klinik Pergigian Sekolah, yang menyediakan akses perkhidmatan pergigian kepada guru, kakitangan sokongan, dan keluarga mereka, serta kerjasama dengan sektor swasta dan badan bukan kerajaan untuk membantu kumpulan terpinggir turut akan diketengahkan,” menurut KKM.

Mesyuarat Kesihatan Mulut Global 2024 anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghimpunkan wakil dari lebih 100 negara termasuk menteri kesihatan, pemimpin kesihatan mulut negara, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi masyarakat sivil, dan pakar antarabangsa untuk mengukuhkan komitmen global dalam mencapai UHC untuk kesihatan mulut menjelang tahun 2030.

Mesyuarat berkenaan juga merupakan langkah penting dalam proses persediaan untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB Ke-4 Mengenai NCDs, pada tahun 2025 dan bertujuan memperkukuh keupayaan sistem penjagaan kesihatan negara untuk memenuhi komitmen di bawah resolusi Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2021 (WHA74.5) dan mempercepat pelaksanaan Pelan Tindakan Kesihatan Mulut Global (GOHAP) GOHAP 2023-2030.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan akan mewakili negara dalam sesi perbincangan di Sidang Kemuncak bertajuk "Dari Bangkok ke New York: Meningkatkan Kesihatan Mulut di Negara-negara dan untuk Mesyuarat Peringkat Tinggi PBB Ke-4 Mengenai NCDs 2025.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan bagi Program Kesihatan Pergigian KKM Dr Noormi Othman juga akan menyampaikan pandangan Malaysia mengenai tadbir urus, kepimpinan dan kewangan dalam kesihatan mulut.

Menurut KKM, penyertaan Malaysia dalam mesyuarat itu menekankan peranan kepimpinan negara dalam memajukan kesihatan mulut di peringkat serantau dan global dan KKM tetap komited untuk memperluas perkhidmatan pergigian di fasiliti kesihatan primer daripada 55 peratus pada 2023 kepada 80 peratus menjelang 2030.

Ia bagi meningkatkan akses terutamanya kepada penduduk yang rentan dan terpinggir bagi mendapat perkhidmatan pergigian tanpa sebarang kesulitan kewangan dan menperkukuhkan jalinan kerjasama, advokasi, dan inovasi dasar bagi mencapai kesihatan mulut yang mampan untuk semua menjelang 2030.

Pengesahan ‘Deklarasi Bangkok: Menuju UHC’ untuk Kesihatan Mulut Menjelang 2030 semasa mesyuarat itu juga menandakan satu pencapaian penting dalam usaha mengintegrasikan kesihatan mulut dalam pencegahan dan pengurusan NCD serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan primer.

Penyakit mulut, yang memberi kesan kepada 3.5 bilion orang di seluruh dunia, merupakan komponen kesihatan yang signifikan, tetapi sering diabaikan dalam sistem kesihatan global.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan