AM > BERITA

Banjir: Perahu 'Talian Hayat' Penduduk Rantau Panjang Ke Jalan Utama

26/11/2024 08:39 PM

PASIR MAS, 26 Nov (Bernama) -- Kebanyakan penduduk di Kampung Tersang dan Kampung Lachang, Rantau Panjang dekat sini menjadi perahu sebagai pengangkutan untuk ke jalan utama selepas kediaman mereka dinaiki air sejak lima hari lepas.

Tinjauan Bernama hari ini mendapati kediaman penduduk di Kampung Tersang masih digenangi air pada paras kira-kira 0.3 meter manakala di Kampung Lachang mencecah satu meter.

Seorang penduduk dari Kampung Tersang Laila Mohd Nor, 38, berkata perahu menjadi 'talian hayat’ kepada kepada penduduk bagi meneruskan rutin harian termasuk berulang-alik bekerja dan menghantar serta mengambil anak dari sekolah.

Ibu kepada lima anak berusia dua hingga 14 tahun itu berkata dia dan suami Mohd Hirwan Faizal Che Rajiuon, 42, menghantar anak ke sekolah setiap pagi, dengan menaiki perahu ke jalan utama kira-kira 50 meter.

“Penempatan kami berada di kawasan rendah menyebabkan hampir setiap tahun dilanda banjir. Kami membuat keputusan untuk menggunakan perahu sejak dua tahun lepas setelah kediaman dinaiki air hingga melepasi empat meter. 

"Dengan perahu, bukan saja elak uniform kotor tapi juga mengelakkan daripada haiwan berbiasa seperti ular dan lipan yang mungkin ada dalam air," katanya kepada pemberita di Kampung Tersang hari ini.

Penduduk Kampung Lachang, Kamaruzaman Mohd, 40, berkata dia sekeluarga bergantung sepenuhnya kepada perahu untuk berulang-alik ke jalan utama sejauh lebih 12 meter.

“Perahu ini dibeli dengan harga sekitar RM2,000 untuk kami sekeluarga. Kebanyakan penduduk kampung ini mempunyai perahu sendiri untuk digunakan ketika musim banjir kerana penempatan kami pernah digenangi air hampir dua bulan,” katanya.

Kamaruzaman berkata penduduk kampung juga telah bersiap sedia lebih awal dengan meletakkan kenderaan di tempat lebih tinggi, setelah hampir setiap tahun kawasan itu menjadi antara kampung terawal dilanda banjir.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan