AM > BERITA

Banjir Di Kelantan Memburuk, Terengganu Beransur Pulih, Johor Kekal Setakat 8 Malam

26/11/2024 10:41 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Situasi banjir di Kelantan bertambah buruk manakala Terengganu beransur pulih dan Johor pula tiada perubahan setakat 8 malam ini.

Di KELANTAN, lima pusat pemindahan sementara (PPS) baharu dibuka malam ini membabitkan jajahan Jeli dan Kuala Krai, menjadikan keseluruhan 141 mangsa daripada 47 keluarga berbanding 80 orang pagi tadi.

Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga PPS dibuka di Jeli iaitu di Dewan Orang Ramai Kesedar Sungai Satan yang menempatkan 33 mangsa daripada 10 keluarga, Masjid Gemang (27 mangsa, 9 keluarga) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Legeh (tiga mangsa daripada satu keluarga).

Di Kuala Krai, PPS dibuka di Masjid Chucuh Puteri A yang menempatkan 37 mangsa daripada 17 keluarga dan SK Chenulang melibatkan lima mangsa daripada dua keluarga manakala di Pasir Mas, jumlah mangsa kekal 36 orang daripada lapan keluarga yang masih ditempatkan di PPS SK Gual To' Deh.

Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNT) memaklumkan jumlah mangsa berkurangan kepada 41 orang daripada 10 keluarga berbanding 55 orang pagi tadi, dan kesemua mangsa masih berlindung di PPS SK Simpang Rawai.

Sementara itu, semakan portal InfoBanjir menunjukkan paras air di Sungai Tersat di Kampung Sekayu (F1), Hulu Terengganu, Sungai Besut di Jambatan Keruak, Besut dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman telah melepasi paras amaran.

Empat lagi lokasi iaitu Parit Utama di Padang Kemunting (F1), Kuala Nerus, Sungai Dungun di Kampung Pasir Raja, Dungun, Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih, Kemaman dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu pula telah melepasi paras waspada.

Di JOHOR, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan, jumlah mangsa kekal 28 orang daripada lapan keluarga yang kesemuanya dari Kampung Seberang Batu Badak dan masih ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak di daerah Segamat. 

Dalam pada itu, beliau berkata dua sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Tiram di Kampung Bukit Dagang, Johor Bahru dan Sungai Paya Dato, Mersing.

“Kota Tinggi dan Pontian dilaporkan hujan pada malam ini manakala Johor Bahru dan Kluang berkeadaan cerah, serta lain-lain daerah adalah mendung,” katanya dalam satu kenyataan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan