AM > BERITA

Grab Tawar Lebih 40,000 Peluang Pekerjaan Di Sarawak Sejak Sedekad Lepas

27/11/2024 02:34 PM

KUCHING, 27 Nov (Bernama) -- Grab Malaysia telah berjaya menyediakan peluang pekerjaaan kepada lebih 40,000 rakyat Sarawak sejak ia mula beroperasi di Bumi Kenyalang sedekad lepas.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Adelene Foo berkata daripada lebih 40,000 individu yang juga dikenali sebagai Rakan Grab itu, kira-kira 700 daripadanya adalah pemandu Grab wanita dengan lebih 60 daripadanya merupakan  golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Beliau berkata syarikat berkenaan turut menyediakan platform kepada Rakan Grab, terdiri daripada pemandu dan rakan penghantaran tempatan, perniagaan serta usahawan, untuk menjana pendapatan menerusi penyelesaian berasaskan teknologi.

“Pada tahun 2023, Rakan Grab ini secara kolektif telah menjana lebih RM100 juta di platform ini, sekali gus mempamerkan impak signifikan Grab terhadap ekonomi negeri.

“Dengan menyediakan penyelesaian inovatif kepada industri perusahaan kecil dan sederhana, kami telah menyaksikan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus bagi peniaga yang berdaftar dengan kami di Sarawak, dengan lebih separuh daripada perniagaan ini mengekalkan penarafan lima bintang berdasarkan ribuan ulasan peminat makanan,” katanya. 

Adelene berkata Grab Malaysia juga menyokong sepenuhnya inisiatif kerajaan Sarawak dalam sektor pelancongan yang menyasarkan ketibaan lima juta pelancong ke negeri berkenaan pada 2025, menerusi penyelesaian berasaskan teknologi. 

“Penyelesaian berasaskan teknologi ini meningkatkan keselesaan dan keselamatan serta memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkayakan komuniti tempatan,” katanya semasa program Sembang TechTarik di sini. 

Seorang pesara guru yang juga merupakan rakan pemandu Grab sejak 2017, Sharipah Mazenah Wan Shazalli, 66, memuji ciri-ciri keselamatan serta sokongan yang diketengahkan syarikat itu kepada Rakan Grab berdaftar.

“Antara ciri keselamatan seperti butang kecemasan untuk bantuan polis dan manfaat seperti diskaun penyelenggaraan kereta, pembiayaan peralatan gajet serta sokongan melalui sumbangan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Grab memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakan kongsi.

“Sebagai pesara guru, saya peroleh semangat baru sebagai pemandu e-hailing Grab ini. Saya selesa dengan fleksibiliti waktu bagi pekerjaan yang memudahkan saya menyokong keluarga sambil kekal aktif,” kata ibu tunggal kepada lapan orang anak itu yang berjaya mempamerkan potensi memperkasa ekonomi gig di setiap peringkat usia.

Sementara itu perniagaan Big Coconut yang pada mulanya hanya bermula sebagai sebuah gerai penjaja namun berdaftar di bawah GrabFood sejak 2019, menempa nama dengan sejumlah lapan cawangan restoran berasaskan masakan barat miliknya kini beroperasi di sekitar Kuching. 

Lebih membanggakan, pemilik Big Coconut, Cliff Chong yang juga merupakan anak Sarawak berkata jenamanya itu diiktiraf sebagai satu jenama dengan prestasi terbaik di GrabFood, sekali gus membuktikan teknologi dan strategi pemasaran inovatif mampu membawa perniagaan kecil ke tahap lebih tinggi.

“Melalui penyertaan strategik dalam kempen pemasaran GrabFood, Big Coconut menyaksikan peningkatan hasil bulanan daripada RM109,000 pada Julai tahun ini kepada RM126,000 pada Oktober lepas,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan