KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Bekas editor Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sahbudin Abdullah meninggal dunia hari ini pada usia 73 tahun akibat sakit jantung.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia sekitar pukul 1.30 pagi tadi ketika sedang memandu dalam perjalanan pulang ke kediamannya.
Berita kematian bekas editor RTM itu disahkan oleh anak lelakinya, Amrul Karim ketika dihubungi Bernama.
Menurut Amrul Karim, jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Serdang dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Cheras Perdana pada pukul 7 malam hari ini.
Sahbudin yang berkhidmat di RTM sebagai petugas kontrak tidak berpencen selama 27 tahun sehingga 2017, juga merupakan penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil di kediamannya di Cheras pada 4 Jan lepas, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin, dan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Arul Rajoo Durar Raj.
Sahbudin sebelum itu pernah berkhidmat di Utusan Malaysia sejak 1980 sehingga 1990, serta menjadi koresponden di Jakarta pada tiga tahun terakhir perkhidmatannya di syarikat tersebut. Beliau disahkan menghidap penyakit jantung sejak 2020.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial