AM > BERITA

Kesesakan Di MRT Pasar Seni: Prasarana Ambil Langkah Penambahbaikan

30/11/2024 09:57 AM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) memperkukuh  prosedur operasi standard (SOP) pengurusan penumpang terutama ketika waktu puncak susulan isu kesesakan di Stesen MRT Pasar Seni yang tular di media sosial pada 26 Nov lepas.

Prasarana dalam kenyataan hari ini memaklumkan kejadian itu dilaporkan berlaku pada waktu puncak sekitar 6.45 petang akibat kelewatan jadual perjalanan sebuah tren, menyebabkan pergerakan penumpang terganggu dan mengakibatkan kesesakan di platform Stesen MRT Pasar Seni.

Bagi memastikan kejadian seumpama itu tidak berulang, Prasarana melakukan penambahbaikan antaranya menyusun semula penempatan Polis Bantuan di kawasan utama yang mempunyai risiko keselamatan seperti platform dan eskalator untuk memastikan kawalan keselamatan lebih efektif.

Selain itu, pemantauan lebih kerap turut dijalankan bagi meninjau kepadatan penumpang di stesen terutama di platform ketika waktu puncak.

“Ini membolehkan pasukan Polis Bantuan bertindak dengan lebih cepat dan menempatkan anggotanya di kawasan kritikal,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan MRT Laluan Kajang akan dipertingkatkan dengan penambahan bilangan tren daripada 39 kepada 42 tren menjelang Mac 2025, bertujuan meningkatkan kapasiti tren dan mengurangkan kesesakan di stesen sepanjang Laluan Kajang.

Selain peningkatan jumlah tren, Prasarana memaklumkan kekerapan tren turut dipendekkan daripada empat minit pada masa ini kepada 3.7 minit, sekali gus mengurangkan waktu menunggu di platform terutama pada waktu puncak.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan