AM > BERITA

Banjir: KPT Beri Ruang Universiti Laksana Pembelajaran Dalam Talian

02/12/2024 05:33 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang kepada universiti yang terjejas banjir untuk melaksanakan proses pengajian mengikut kesesuaian termasuk pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata keputusan itu dibuat selepas perbincangan pagi tadi bersama Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang, selain menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas.

“Jika ada kawasan yang terjejas disebabkan ini (banjir), kita sangat fleksibel untuk menyediakan ruang (pembelajaran). Kaedahnya pelbagai.

"Sekarang ni, kawasan yang terlibat (banjir) di Kelantan dan Terengganu… kita bagi fleksibiliti kepada universiti, mereka tahu apa yang perlu laksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan nota kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan KPT di sini hari ini.

Mengenai bantuan kepada pelajar terjejas akibat banjir, Zambry berkata terdapat pasukan sukarelawan Skuad Ihsan MADANI akan membantu menyalurkan bantuan terbabit selain pihak universiti juga akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan kebanyakan mereka berada di kampus masing-masing.

Pada 29 Nov lepas, media melaporkan sebanyak 3,029 penuntut institusi pengajian tinggi awam terjejas banjir dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.

Zambry berkata pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan