AM > BERITA

Pahang Disaran Tubuh Badan Khas Atasi Projek Rumah Terbengkalai

02/12/2024 06:24 PM

KUANTAN, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan Pahang disaran menubuhkan sebuah badan khas yang akan memberi tumpuan menangani isu perumahan khususnya melibatkan projek sakit dan terbengkalai.

Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP-Tras) berkata badan khas itu bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah pembeli yang terkesan, tetapi juga mengelak kerugian kepada kerajaan negeri dalam pendapatan hasil menerusi pengutipan cukai. 

“Sebagai contoh, terdapat lebih daripada tiga projek terbengkalai di daerah Raub. Pada 1989, projek ini masih gagal disiapkan dan akhirnya pada 2000, sebuah syarikat penyelamat telah mengambil alih projek sakit ini dan alhamdulillah, ia akhirnya dapat disiapkan dan kini sudah diduduki.

“Masa berlalu, kerugian kepada kerajaan Pahang dan pembeli dianggarkan sebanyak RM16 juta jika projek ini (dibiarkan) terbengkalai. Jika diambil contoh dan pengajaran daripada projek ini, kerajaan negeri sebenarnya mempunyai kuasa dan boleh membantu menyelesaikan masalah rakyat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perbahasan Belanjawan Pahang 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini. 

Selain itu, Tengku Zulpuri Shah berkata Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) tidak boleh hanya bergantung kepada peruntukan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dalam memastikan kelangsungan pembekalan air bersih di negeri ini membabitkan penyelenggaraan, gantian saluran paip-paip baharu dan penyelenggaraan tidak berjadual. 

“Sebagai contoh, Jepun kerap kali mengalami gempa bumi sehingga tercipta menerusi kreativiti membina bangunan yang tahan gegaran. Masalah bekalan air bersih tidak berjadual sudah masuk lebih tujuh tahun, ia perlu ada langkah segera menangani isu ini,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan