AM > BERITA

112,455 Mangsa Banjir Di Sembilan Negeri Setakat 4 Petang

02/12/2024 07:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Jumlah mangsa di tujuh daripada sembilan negeri yang terjejas banjir merekodkan penurunan, menjadikan mereka yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat 4 petang tadi, seramai 112,455 orang berbanding 138,052, pagi tadi.

Angka kematian akibat banjir pula meningkat kepada tujuh orang, selepas seorang lelaki yang dilaporkan hilang setelah motosikal ditunggangnya dihanyutkan arus, ditemukan lemas di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Kerteh 3, Dungun, Terengganu hari ini.

Di TERENGGANU, cuaca cerah sepanjang hari menyaksikan jumlah mangsa yang berada di PPS di lapan daerah berkurangan kepada 30,682 orang yang berlindung di 181 PPS setakat 4 petang, berbanding 39,865 pada 8 pagi tadi.

Sekretariat Pengurusan Bencana Banjir Negeri Terengganu (JBPNT) memaklumkan Dungun masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 8,431 orang diikuti Kuala Nerus (6,432), Besut (5,785), Kuala Terengganu (4,350) dan Hulu Terengganu (3,032).

Di Setiu pula merekodkan 1,040 mangsa, Marang (868) dan Kemaman (684).

Dalam pada itu, paras air sungai di tiga stesen iaitu Parit Utama di Padang Kemunting, Kuala Nerus; Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Nerus di Kampung Jeram, Kuala Nerus melepasi paras bahaya.

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir juga mencatatkan penurunan kepada 71,004 orang membabitkan 21,892 keluarga yang ditempatkan di 194 PPS, berbanding 85,778, pagi tadi.

Menerusi Portal Info Bencana JKM, jajahan Pasir Mas kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 28,468 orang, diikuti Tumpat (20,570), Kota Bharu (2,163), Pasir Puteh (8,051), Kuala Krai (3,401), Bachok (4,226), Machang (2,344) dan Tanah Merah (1,781).

Di KEDAH, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 7,383 orang melibatkan 2,234 keluarga setakat 4 petang yang berada di 44 PPS berbanding 8,051 orang pagi tadi.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain dalam kenyataan memaklumkan Kota Setar masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 3,952 mangsa diikuti Kubang Pasu (2,206), Pokok Sena (583), Padang Terap (331) dan Sik (311).

“Sebuah PPS yang dibuka di daerah Baling pada Sabtu lalu telah ditutup sepenuhnya pada 11 pagi tadi,” katanya.

Di PERAK, jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan jumlah mangsa banjir menurun kepada 588 orang melibatkan 174 keluarga, dengan kesemua mereka berlindung di tujuh PPS di daerah Larut, Matang dan Selama, Kinta, Hilir Perak serta Kampar.

Di PERLIS, jumlah mangsa banjir terus mencatatkan penurunan kepada 55 orang setakat 4 petang dengan kesemua mereka berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Arau di Arau.

Di MELAKA, Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka memaklumkan jumlah mangsa banjir turun kepada 167 orang melibatkan 44 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS iaitu satu di daerah Alor Gajah dan dua di Jasin.

Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa banjir merekodkan penurunan yang ketara dengan 74 mangsa daripada 22 keluarga berada di sebuah PPS di Kuala Pilah petang ini, berbanding 1,139 mangsa daripada 297 keluarga pagi tadi.

Bagaimanapun di PAHANG, mangsa banjir meningkat kepada 1,607 orang daripada 526 keluarga yang ditempatkan di 22 PPS, berbanding 1,517 orang pagi tadi.

Menurut aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), 1,581 mangsa ditempatkan di 20 PPS di Raub, manakala masing-masing 13 orang di PPS di Jerantut dan Lipis.

Di JOHOR, daerah Tangkak kembali dilanda banjir menjadikan jumlah mangsa di negeri itu meningkat kepada 921 orang setakat 4 petang, berbanding 803 orang pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa daripada 259 keluarga yang terjejas akibat bencana itu ditempatkan di 19 PPS.

Beliau berkata sebuah PPS dibuka di Tangkak iaitu Dewan Serbaguna Penghulu Long yang menempatkan 46 mangsa manakala 875 orang berlindung di 18 PPS di Segamat.  

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan