AM > BERITA

Banjir: Jalan Putus, Situasi Luar Jangka Antara Cabaran Anggota Bomba

02/12/2024 08:50 PM

PUTRAJAYA, 2 Dis (Bernama) -- Situasi jalan putus di kebanyakan lokasi banjir antara cabaran utama dihadapi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ketika bertugas, kata Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat JBPM di sini hari ini, beliau bagaimanapun berkata ia tidak melemahkan semangat lebih 800 anggota bomba yang ditugaskan bagi misi bantuan banjir di sembilan negeri terjejas.

“Jalan putus di kebanyakan tempat memang ganggu pergerakan anggota. Keduanya ialah kita tengok trend di kawasan Rantau Panjang, Pasir Mas dan Besut, kawasan ini sebahagiannya sebelum ini tidak pernah mengalami banjir sebegini dalam.

“Jadi penduduk di sana pada peringkat awal agak yakin bahawa air tidak akan naik, tetapi air naik mengejut dan kita terpaksa melaksanakan operasi pada waktu malam, ini agak sukar bagi kami,” katanya ketika ditanya mengenai cabaran ditempuhi anggota bomba ketika musim banjir ini.

Mengambil iktibar daripada pengalaman lepas dari segi keselamatan dan kesihatan anggota, beliau berkata balai yang terlibat dalam kawasan banjir telah dibekalkan dengan alat perlindungan peribadi (PPE) yang lebih mesra pengguna.

Susulan jangkaan lima hingga enam episod hujan lebat berterusan seperti yang diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, beliau berkata pelbagai persiapan awal telah digerakkan JBPM secara maksimum bagi berdepan segala kemungkinan termasuk insiden pokok tumbang dan tanah runtuh.

Dari segi penugasan anggota, beliau berkata bermula 5 Nov hingga semalam, sejumlah 7,632 anggota telah diatur gerak untuk menangani insiden banjir dan fenomena Monsun Timur Laut (MTL) dengan persiapan dari segi aset iaitu 450 kenderaan marin dan 350 kenderaan angkut seperti van, pacuan empat roda dan lori.

Terdahulu, Nor Hisham turut menyaksikan pemeteraian dokumen dan penyerahan nota serah tugas bagi Pengarah Bomba Negeri yang baharu dilantik melibatkan sembilan pegawai kanan jabatan yang telah dinaikkan pangkat atau terlibat dalam pusingan kerja.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan