AM > BERITA

Kelab Rotaract Lembah Klang Lancar Projek Penuaian Air Hujan

04/12/2024 11:23 AM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kelab Rotaract Lembah Klang melancarkan inisiatif rintis penuaian air hujan, menyasarkan untuk menangani banjir di bandar dan mempromosikan kemampanan dalam komuniti.

Presiden piagam kelab itu Mahija Menon dalam kenyataan kepada Bernama berkata Projek "Catch the Rain, Ease the Strain" (tuai hujan, redakan ketegangan) itu, yang dilancarkan pada sambutan Charter Night kelab berkenaan baru-baru ini, memfokuskan pada pemasangan sistem penuaian air hujan di Sri Muda dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning yang sering dilanda banjir.

"Ini bukan semata-mata projek untuk saya, ia cara untuk menyumbang semula kepada komuniti yang telah membentuk diri saya sekarang," kata Mahija yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Muda Selangor.

Pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu berkata beliau mendapat inspirasi untuk melaksanakan projek tersebut daripada Matlamat Pembangunan Lestari PBB bagi memastikan ketersediaan air serta pengurusan mampan air dan sanitasi untuk semua.

Mahija berkata projek itu telah menerima sokongan kewangan termasuk RM10,000 daripada ADUN Kota Kemuning Preakas Sampunathan dan RM20,000 daripada Presiden MIC Tan Sri S. Vigneswaran, selain sumbangan tambahan RM1,000 daripada Datin Sri Shaila Nair, yang mengukuhkan lagi pembangunan projek itu.

Fasa awal projek katanya akan memberi tumpuan kepada pemasangan sistem berkenaan di dua sekolah dalam DUN Kota Kemuning.

“Jika projek rintis ini terbukti berjaya, kami menyasarkan untuk menjadikan ini sebagai inisiatif utama kami dan mengembangkan pelaksanaannya pada masa hadapan.

"Adalah penting bagi golongan muda untuk bersama-sama dan mengusahakan projek yang mewujudkan perubahan positif yang berkekalan, memberi manfaat kepada planet dan komuniti yang paling memerlukannya," kata Mahija.

Beliau turut berterima kasih kepada bekas Gabenor Daerah Rotari Dr Manohur Kurup dan usahawan terkemuka Tan Sri Ravindran Menon atas bimbingan dan sokongan mereka untuk projek itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan