AM > BERITA

Perintah Hukuman Sebat Di Khalayak Ramai Terhadap Tukang Rumah Ditangguhkan

04/12/2024 01:50 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara ke atas seorang tukang rumah yang melakukan kesalahan khalwat berulang yang dijadualkan Jumaat ini, ditangguhkan susulan permohonan semakan oleh pihak tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata permohonan semakan itu telah difailkan di Mahkamah Rayuan Syariah semalam.

Tanpa mendedahkan pihak yang memfailkan permohonan tersebut, beliau berkata permohonan semakan merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman.

“Ia bagi membolehkan satu-satu hukuman itu berjalan dengan lebih teratur dan tersusun,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Bagaimanapun Muhammad Khalil berkata pelaksanaan hukuman ke atas Mohd Affendi Awang, 42, akan tetap dilakukan di masjid sebagaimana yang diperintahkan sebelum ini pada tarikh lain.

“Tempat tidak berubah, hukuman ke atas pesalah tidak berubah cuma tunggu tarikh baru sahaja. Dalam masa terdekat tak ambil masa yang lama…insya-Allah dalam bulan Disember ini juga,” katanya.

Menurutnya hukuman sebatan di luar penjara yang dijatuhkan sebelum ini bertujuan memberikan pengajaran kepada pesalah yang melakukan kesalahan sama secara berulang dan juga individu lain.

Beliau juga menafikan penangguhan sementara hukuman bagi kesalahan jenayah syariah takzir itu dibuat berikutan terdapat tekanan daripada pihak tertentu seperti badan bukan kerajaan.

“Orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah. Saya juga ingin menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak Mahkamah Syariah,” katanya sambil menambah pesalah tersebut tidak mengemukakan rayuan dalam tempoh 14 hari hukuman dijatuhkan.

Pada 20 Nov, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 selepas Mohd Affendi mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 31(a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Hakim turut memerintahkan hukuman sebatan terhadap duda yang mempunyai lima anak itu dijalankan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di sini, pada Jumaat ini selepas solat Jumaat.

Hukuman sebat di khalayak ramai dikenakan terhadap lelaki itu kerana ia merupakan kesalahan ketiganya selepas pernah dihukum bagi kesalahan sama pada Julai tahun lepas dan Februari tahun ini.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan