AM > BERITA

Tiada Perubahan Serta-merta Pada Kadar Premium Perubatan - LIAM

04/12/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM) berkata tiada perubahan serta-merta kepada pelarasan kadar premium insurans kesihatan dan takaful (MHIT) sebanyak 40 hingga 70 peratus.

LIAM dalam satu kenyataan hari menjelaskan bahawa perbincangan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sedang dijalankan untuk meneroka langkah-langkah untuk meringankan beban pemegang polisi berikutan peningkatan dalam tuntutan yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak beberapa tahun lepas.

Persatuan itu mengeluarkan penjelasan itu sebagai respons kepada laporan media tempatan yang mendakwa tiada perubahan serta-merta kepada kenaikan premium perubatan yang dilaporkan baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh 2021 hingga 2023, inflasi kos tuntutan perubatan terkumpul yang belum pernah berlaku sebelum ini iaitu sebanyak 56 peratus menyebabkan banyak penanggung insurans dalam kedudukan kritikal pada buku perniagaan perubatan mereka, mereka perlu menguruskan nisbah tuntutan yang tinggi berbanding premium.

"Kenaikan kos penjagaan di hospital swasta serta peningkatan mendadak dalam bilangan pemegang polisi yang mendapatkan rawatan telah mendorong tuntutan dan premium," katanya.

Buku perniagaan perubatan adalah pangkalan data atau buku menyenaraikan semua polisi insurans yang telah dikeluarkan oleh syarikat insurans.

Persatuan itu berkata dalam tempoh itu, penanggung insurans telah terlibat secara proaktif dengan pelanggan mereka untuk mengurus kesan penetapan semula harga dan menawarkan pelbagai pilihan untuk memastikan kesinambungan polisi dan kemampuan.

Ia juga menyatakan bahawa industri insurans hayat telah bekerjasama secara aktif dengan BNM, Kementerian Kesihatan dan Persatuan Hospital Swasta Malaysia untuk membangunkan strategi jangka panjang untuk menangani kesan kewangan kenaikan kos dan tuntutan perubatan. .

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan