ALOR GAJAH, 4 Dis (Bernama) -- Program Jelajah Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 Bersama Siswa diteruskan ke Zon Selatan hari ini dengan penyampaian sumbangan satu set komputer berkeupayaan tinggi dan sebuah televisyen pintar kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka.
Sumbangan dari Kementerian Komunikasi itu disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin kepada Timbalan Rektor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Cawangan Melaka Dr Nadzri Mohd Sharif.
Majlis turut dihadiri Ketua Pengarang Bernama yang juga Pengarah Projek HAWANA 2024 Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Nasriah Darus.
Sekretariat HAWANA 2024 dalam kenyataan memaklumkan siri jelajah kali ini menampilkan tiga bengkel interaktif yang relevan dengan cabaran dunia digital masa kini, merangkumi Mobile Journalism (MoJo), sesi Semakan Fakta oleh editor Bernama, serta ceramah ‘Klik Dengan Bijak’ oleh pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia berjaya menarik penyertaan lebih 300 pelajar dan pensyarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Melaka dan Negeri Sembilan, mencipta satu platform penting untuk memperkukuh pemahaman mengenai dunia kewartawanan.
Program yang dianjurkan Bernama dengan kerjasama Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu bertujuan memperkukuh pemahaman mahasiswa mengenai dunia kewartawanan dan kepentingan media bertanggungjawab.
“Sesi perkongsian ini bertujuan membimbing pelajar menghasilkan kandungan media berkualiti tinggi, selain menekankan kepentingan menyemak fakta untuk memerangi penyebaran maklumat palsu,” menurut kenyataan itu.
Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merangkumi enam zon di seluruh negara iaitu Sarawak, Sabah, Tengah, Utara, Selatan dan Timur. Zon Timur akan menjadi lokasi penutup pada 12 Dis ini di Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Terengganu.
Program Jelajah HAWANA 2024 Bersama Siswa merupakan antara acara yang diadakan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi dengan Bernama sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial