AM > BERITA

Peruntukan RM1.16 Juta Bantu Peneroka Felda Terkesan Banjir

04/12/2024 03:47 PM

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Felda menerusi anak syarikatnya memperuntukkan RM1.16 juta bagi membantu warga peneroka yang terkesan dengan bencana banjir pada tahun ini.

Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata peruntukan itu akan digunakan sebaiknya bagi pengurusan pengangkutan, barangan pembersihan serta barangan keperluan asas untuk disalurkan kepada mangsa banjir.

“Jumlah yang terkumpul saya kira ia memadai buat sekarang ini dan barang-barang yang kita dah siapkan itu, sebahagiannya adalah barangan keperluan asas sedia ada kerana kita telah menubuhkan satu pasukan Felda Siap Siaga sebelum ini.

“Keutamaan kita mulakan di kawasan Felda dahulu kerana saya percaya di tempat-tempat lain itu kerajaan negeri akan turut membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan konvoi Skuad Sukarelawan Pasca Banjir Felda bagi Misi Bantuan Pasca Banjir Kumpulan Felda ke Terengganu di lobi Menara Felda Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengarah Besar Felda Datuk Dr Suzana Idayu Wati Osman, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holding Bhd Fakhrunniam Othman dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Sulong Jamil.

Beliau berkata program itu bertujuan memastikan setiap peneroka yang terkesan mendapat bantuan segera, selain membantu membersihkan rumah dan kawasan sekitar agar mereka dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih baik selepas kejadian banjir.

Ahmad Shabery berkata sebanyak 18 Rancangan Felda terlibat gelombang banjir kali ini membabitkan lapan di Felda Wilayah Raja Alias di Negeri Sembilan, enam di Felda Wilayah Terengganu, tiga di Wilayah Felda Trolak, Perak dan satu di Wilayah Felda Alor Setar, Kedah.

Beliau berkata Felda Wilayah Raja Alias mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu di Rancangan Jelai 4 dengan 117 rumah keluarga yang terjejas, diikuti oleh Seberang Tayor di Kemaman Terengganu membabitkan 107 rumah.

“Keseluruhan yang terlibat bencana ini adalah 1,813 keluarga daripada 496 rumah yang kini sedang berdepan cabaran pascabanjir. 

“Kerja-kerja pembersihan memerlukan tenaga dan insya-Allah skuad kita akan menyelesaikan misi ini dalam minggu ini juga,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata banjir yang melanda tanah rancangan Felda kali ini tidak terlalu serius berbanding di tempat lain.

“Saya menganggap bencana kali ini masih di peringkat sederhana. Ia (situasi) tidaklah terlalu parah tetapi menyediakan bantuan itu, kita nak jadikan ia sebahagian daripada tanggungjawab dan budaya dalam warga Felda membantu yang memerlukan,” katanya.

Misi bantuan itu menyaksikan gabungan usaha lebih 15 entiti melibatkan anak syarikat, koperasi dan badan bukan kerajaan (NGO).

NGO Felda mendapat kerjasama Pertubuhan Sahabat Pertahanan Awam (PeSPA) yang menyediakan kenderaan pacuan empat roda.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan