KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima kunjungan hormat Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn di Putrajaya bagi membincangkan perihal persediaan dan penyelarasan menjelang Kepengerusian ASEAN Malaysia tahun depan.
Anwar berkata peranan dan sokongan Sekretariat ASEAN penting bagi memastikan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia berjalan lancar.
“Alhamdulillah, kesiapsiagaan Malaysia untuk memikul tanggungjawab ini kini di peringkat akhir,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Beliau berkata keutamaan sepanjang Malaysia mempengerusikan ASEAN adalah memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau selain melonjakkan perdagangan dan pelaburan serta memperluas kerjasama ekonomi dan menggalakkan pertumbuhan serta pembangunan yang terangkum.
“Bicara kami turut menyentuh perkembangan memuaskan dalam proses penggubalan Pelan Strategik Visi Komuniti ASEAN 2045 serta beberapa perkara lain terkait hal ehwal ASEAN,” katanya.
Dalam hantaran itu, Perdana Menteri turut mengalu-alukan kehadiran pasukan sekretariat dan seluruh delegasi negara anggota ASEAN ke Malaysia tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial