AM > BERITA

Pangkalan Hadapan JKM Di Kelantan Akan Ditambah Baik - Nancy

05/12/2024 07:51 PM

TUMPAT, 5 Dis (Bernama) -- Pangkalan hadapan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kelantan akan ditambah baik dari semasa ke semasa, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata walaupun di Kelantan hanya terdapat satu pangkalan hadapan JKM di Pengkalan Chepa, namun kementeriannya akan memastikan semua bantuan makanan dan keperluan asas dapat disalurkan di setiap pusat pemindahan sementara (PPS).

"Ya, kita memang menyedari perkara itu (kekurangan pangkalan hadapan JKM) dan kita akan membaiki segala kelemahan yang ada termasuklah dibahagikan kepada peringkat zon.

"Jadi, tidak ada masalah dari segi tidak cukup bekalan makanan dan JKM juga akan menambah barang-barang keperluan asas di depot," katanya dalam sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Seri Tumpat 2 di sini hari ini.

Nancy berkata penyaluran bantuan juga sentiasa ditambah baik bagi mengelakkan bekalan makanan dan keperluan asas tidak sampai ke PPS akibat beberapa kekangan, seperti jalan putus.

"Ada beberapa petugas JKM yang turut terkesan dengan banjir … oleh itu, mereka yang bertugas pada gelombang pertama diberi rehat dan akan diganti dengan petugas lain untuk bersiap sedia menghadapi gelombang seterusnya," katanya.

Beliau berkata sebanyak 4,590 petugas JKM di seluruh negara dengan kerjasama agensi lain dan sukarelawan terlibat menguruskan keperluan mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas.

Terdahulu, Nancy melawat dan menyampaikan sumbangan kepada balu mangsa banjir, Fadiah Seman, 69, di Kampung Kuala Sat, Machang, yang kehilangan suaminya Shukarno Mahmood, 72, yang ditemukan lemas pada 8.30 pagi, Ahad lepas.

Shukarno dijumpai kira-kira 100 meter dari kediamannya selepas perahu yang dinaiki dipercayai terbalik dan dibawa arus ketika mangsa dalam perjalanan pulang daripada meninjau haiwan ternakannya di kawasan berdekatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan