AM > BERITA

Reka Kasut Sendiri Demi Kepuasan, Usahawan Muda Raih Hasil Jualan RM1 Juta Setahun

06/12/2024 05:10 PM

Oleh Sarinah Mat Kasim

SEREMBAN, 6 Dis (Bernama) -- Sukar mendapatkan kasut yang selesa namun masih trendy atau bergaya, membuatkannya tekad mereka bentuk kasut dengan jenamanya sendiri.

Mempertaruhkan jenama theflickstore, kasut dengan bercirikan tapak setebal empat hingga enam sentimeter Noorfarahida Rosli kini boleh tersenyum lebar apabila langkahnya menceburi bidang perniagaan sejak 10 tahun lepas membuahkan hasil lumayan hingga mampu meraih jualan kira-kira RM1 juta setahun.

Mengimbau pembabitannya dalam perniagaan kasut, usahawan kelahiran Pahang berusia 31 tahun itu berkata dengan modal RM20,000 hasil simpanannya, beliau dan suami berkunjung ke Thailand sekitar 2014 untuk mencari pembekal dan pengilang bagi membuat kasut jenamanya sendiri.

"Kami hanya mempunyai maklumat di laman sosial dan carian di Internet sahaja untuk mencari pembekal dan kilang kasut di Thailand. Lima hari di sana tidak membuahkan hasil namun memasuki hari keenam, alhamdulillah tuhan bantu, akhirnya jumpa juga dengan kilang yang boleh ikut kehendak dan reka bentuk diinginkan.

“Pada awalnya memang sukar kerana saya hanya berniaga menerusi platform dalam talian termasuk di Instagram, Facebook dan laman sesawang sahaja, namun lama kelamaan jenama kasut saya mula dikenali ramai dan mendapat permintaan tinggi terutama menjelang perayaan," katanya ketika ditemui Bernama di kedainya di sini.

Ibu kepada dua cahaya mata yang mesra dengan panggilan Farah itu berkata sebagai individu yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan, beliau tidak terlepas daripada diuji apabila pernah mengalami kerugian lebih RM40,000 akibat ditipu oleh pengilang di China, empat tahun lepas.

Noorfarahida berkata amalan pembekal yang menggunakan konsep bayar dulu barulah produk dibuat dan dihantar kepada pembeli, menerima padah apabila pengilang tidak membuat penghantaran setelah urusan pembayaran dilakukan.

“Saya tidak sangka, orang yang kami selalu berurusan di China menipu kami setelah tiga tahun berurus niaga dengannya. Nasib tidak menyebelahi kami apabila peniaga tersebut melesapkan duit dan dia hilang tanpa khabar berita.

“Saya memang rasa ‘terduduk’ sangat, tak tahu nak buat apa. Duit habis tapi barang tak ada, nak berdepan dengan pelanggan lagi, nak kena kembalikan duit pelanggan, nak bayar gaji pekerja, hingga hampir putus asa untuk teruskan berniaga,” katanya.

Berkat sokongan keluarga, pemilik Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap empat itu kemudian membuat pinjaman dengan pelbagai agensi termasuk TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk mengembangkan semula perniagaannya.

“Setiap hari kami bekerja termasuk membuat siaran langsung di aplikasi TikTok. Pernah satu hari kami bekerja 18 jam tanpa henti buat siaran langsung, hasilnya pada hari itu lebih 800 unit kasut dengan harga RM100 sepasang terjual.

“Alhamdulillah, jika dulu jualan tahunan hanya RM200,000 tetapi kini kita mampu mencecah tujuh angka setahun, namun untuk sampai tahap sekarang ini bukan senang, perlukan kesabaran dan pengorbanan,” katanya yang mempunyai 12 pekerja termasuk pekerja separuh masa.

Beliau berkata selain pasaran Malaysia, produknya kini turut melebarkan sayap ke negara jiran termasuk Singapura, Brunei dan Indonesia melalui jualan di laman sesawang dan hasil usaha pihaknya mengikuti karnival jualan di seluruh negara.

Beliau berkata terdapat lebih 10 rekaan kasut jenama theflickstore di pasaran dijual pada harga RM39 hingga RM159 sepasang.

Sementara itu, Nurasyikin Ramli, 31, berkata sebagai pelanggan setia jenama kasut berkenaan, dia sentiasa ternanti-nanti rekaan terbaru yang disifatkan berbeza dengan jenama kasut lain yang ada di pasaran.

“Saya antara peminat kasut tapak tinggi dan tebal, tetapi pada masa sama ia membuatkan kita rasa selamat untuk dipakai serta selesa walaupun berjalan jauh,” katanya.

Fatin Farhana Ismail, 28, pula berkata kasut keluaran theflickstore dijual dengan harga berpatutan dan memenuhi cita rasanya selain selesa biarpun memakainya dalam tempoh yang lama serta tahan lasak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan