DENGKIL, 6 Dis (Bernama) -- Angkatan Pertahanan Awam (APM) menyeru orang ramai tidak menyebarkan ramalan cuaca yang tidak tepat sehingga menjejaskan perancangan agensi penyelamat dalam menghadapi luruan monsun yang dijangka bermula 8 hingga 14 Disember ini.
Ketua Pesuruhjaya APM Datuk Aminurrahim Mohamed berkata anggota dan aset APM siap siaga hadapi episod ketiga luruan monsun yang mengakibatkan hujan berterusan bermula minggu depan di timur Semenanjung.
Selain itu, beliau berkata kerjasama dan komunikasi dimantapkan dengan Rakan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara) dan Civil Defence Auxiliary Members (CDA) memastikan persiapan rapi.
"Saya seru warganet tidak sebar berita kurang pasti. Sebar sesuatu ramalan tidak tepat akan merencatkan perancangan agensi kerajaan. Kita khuatir akan beri tumpuan kepada tempat tidak tepat maka keperluan di tempat yang memerlukan pada waktu tertentu itu akan terjejas," katanya kepada media selepas majlis pelepasan Skuad Ihsan MADANI APM di sini hari ini.
Aminurrahim turut menyeru orang ramai yang ingin menyumbang kepada mangsa banjir untuk berhubung dengan sekretariat pengurusan bencana daerah, negeri, NADMA dan APM agar usaha itu diselaraskan dan tidak berlonggok di satu tempat sahaja.
Beliau berkata ketika ini minyak masak amat diperlukan, khususnya di Kelantan dan sumbangan seperti pakaian tidak diperlukan kerana mencukupi.
Aminurrahim juga meminta sukarelawan dan rakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk bersama-sama turun membantu membaiki peralatan elektrik dan motosikal mangsa banjir.
Usaha ini penting kerana membolehkan peralatan elektrik digunakan semula agar tidak menjadi sisa pepejal selain meringankan beban mangsa banjir.
Beliau berkata keperluan kini lebih tertumpu kepada usaha pembersihan dan pencucian di rumah mangsa, surau, tempat ibadat serta makanan untuk mangsa banjir yang pulang ke kediaman masing-masing.
Setakat hari ini, terdapat 126 pusat penempatan sementara (PPS) berbanding sebelum ini iaitu 652 PPS di tujuh negeri yang terjejas iaitu Kelantan, Kedah, Terengganu, Johor, Melaka, Perak dan Pahang.
Selain itu, beliau berkata mangsa banjir juga menurun daripada 153,000 sejak 1 Dis lepas kepada 36,146 orang setakat ini.
Rakan NADMA dan CDA telah menggerakkan hampir 11,000 sukarelawan sejak banjir melanda dan membawa bantuan 275 tan bernilai hampir RM14.25 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial