SHAH ALAM, 6 Dis (Bernama) -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Pameran 30 Tahun Jubli Mutiara bagi meraikan tiga dekad perjalanan agensi itu memperkukuh institusi zakat dan memperkasakan komuniti di Selangor.
Perasmian pameran disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda di Pustaka Raja Tun Uda, Seksyen 13, di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata pameran yang mengangkat konsep bahtera sebagai simbol perjalanan institusi itu menggambarkan sebuah kapal yang kuat dan teguh belayar membawa harapan serta bantuan kepada mereka yang memerlukan.
“Kita dapat lihat, di belakang saya tersergam indah bahtera LZS. Bahtera yang akan membawa kita menyelusuri perjalanan dan transformasi sepanjang tiga dekad yang kini kita berkembang sebanyak 18 cawangan sejak penubuhan pada 1994.
“Bahtera ini ibarat sedang berlayar di tengah lautan yang bergelora. Pelayaran yang begitu mencabar di dalam pencarian bagi membantu mereka yang memerlukan,” katanya dalam ucapan aluan di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad.
Mohd Sabirin berkata pameran yang menyasarkan sekitar 20,000 pengunjung itu bukan sahaja memperlihatkan pencapaian LZS tetapi juga mengangkat kisah-kisah kejayaan asnaf yang telah dibantu menerusi pengurusan zakat yang amanah dan profesional oleh agensi itu.
“Saya berharap pameran ini bukan sekadar memberi inspirasi tetapi juga membuka hati dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan berzakat sebagai tonggak ekonomi ummah khususnya di Selangor,” katanya.
Mohd Sabirin berkata pameran bertemakan ‘Jalinan Harapan, Membangun Kehidupan’ berlangsung sepanjang Disember ini bermula 10 pagi hingga 6 petang, mengetengahkan perjalanan 30 tahun LZS menyantuni masyarakat khususnya golongan asnaf.
Beliau berkata pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya reruai informasi berkaitan perkhidmatan LZS, kuiz interaktif, pertandingan mewarna, program Start With Sepuluh serta sesi bercerita yang antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan zakat.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.zakatselangor.com.my atau laman media sosial rasmi LZS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial