BUKIT MERTAJAM, 7 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan lawatan kerja di Pulau Pinang dengan melawat kilang CG Global Profastex Manufacturing Sdn Bhd di Taman Perindustrian Perai, di sini hari ini.
Ketibaan Anwar pada 11.40 pagi itu disambut Pengarah Urusan syarikat berkenaan Siti Padillah Abdul Wahab, dan meluangkan masa kira-kira 30 minit di kilang berkenaan.
Turut serta dalam lawatan itu ialah Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan serta rombongan turut dibawa melihat pengoperasian kilang yang merupakan sebuah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berstatus milikan wanita bumiputera dan satu-satunya menjalankan aktiviti perkilangan elektronik di Seberang Perai Tengah.
Ditubuhkan pada 2016, syarikat berkenaan yang mempunyai 70 pekerja terdiri daripada anak tempatan sepenuhnya, sentiasa membuka peluang pekerjaan kepada para siswazah untuk menimba pengalaman dalam bidang elektronik selain turut bekerjasama dengan pelbagai institusi pengajian dengan menawarkan latihan dan lawatan industri.
Hingga kini, CG Global telah melatih hampir 300 pelajar dalam bidang perkilangan elektronik.
Di samping itu, syarikat berkenaaan yang mempunyai kelengkapan perkilangan dan kepakaran juga menawarkan aktiviti perkilangan untuk menghasilkan "Printed Circuit Board Assemblies (PCBA)" sehingga produk pasang siap "Box Build Assemblies".
Sebanyak 95 peratus daripada keluaran syarikat adalah untuk pasaran luar negara, iaitu Amerika Syarikat, Australia, Perancis, United Kingdom dan China yang terdiri daripada pelbagai industri seperti elektrik dan elektronik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial