AM > BERITA

DAP PULAU PINANG HANTAR 100 TAN BARANGAN KEPERLUAN KEPADA MANGSA BANJIR

07/12/2024 05:04 PM

BUTTERWORTH, 7 Dis (Bernama) -- DAP Pulau Pinang menghantar empat buah kontena yang membawa 100 tan berupa pelbagai barangan keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir ke tiga negeri yang terjejas dengan musibah banjir iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pengerusinya Steven Sim Chee Keong berkata kesemua barangan itu adalah hasil sumbangan rakyat negeri ini termasuk sukarelawan, badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat-syarikat yang bermurah hati dan prihatin dengan kesulitan dihadapi mereka yang ditimpa bencana.

Beliau berkata selain makanan dan barangan keperluan harian, pihaknya turut menerima sumbangan seperti 101 periuk nasi, 500 bantal, 500 tilam, 2,204 kain linen, 1,200 tuala, 9,000 biji telur, serta 200,000 botol air minuman.

“Melihat kepada bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri khususnya di Pantai Timur dan Kedah maka Jawatankuasa DAP negeri telah memutuskan untuk bersolidariti dengan melancarkan Misi Bantuan Banjir dengan mengadakan kempen kutipan sumbangan dan derma untuk disalurkan kepada mereka yang terlibat.

“Dalam tempoh lima hari, kita berjaya mengumpulkan pelbagai barangan yang diperlukan oleh mangsa-mangsa banjir selain kutipan sumbangan tunai berjumlah RM98,107,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir DAP Pulau Pinang di Mak Mandin di sini, hari ini.

Sim berkata wang tunai tersebut akan digunakan secara berfasa memandangkan kemungkinan jangkaan akan berlaku gelombang kedua banjir dan fasa pertama, sebanyak RM60,000 akan disalurkan kepada tiga negeri terlibat dengan setiap negeri akan menerima RM20,000 sebagai bantuan banjir.

Beliau berkata wang sumbangan selebihnya akan digunakan sepenuhnya untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir.

Menurut Sim, tiga wakil DAP Pulau Pinang turut dihantar ke Kedah, Kelantan dan Terengganu sebagai penyelaras yang akan menyerahkan kesemua bantuan kepada jawatankuasa DAP di negeri terlibat untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.

Beliau berharap bantuan yang diberikan dapat meringankan beban mangsa, sambil menegaskan bahawa DAP Pulau Pinang akan terus berada di barisan hadapan dalam membantu rakyat yang memerlukan perhatian.

-- BERNAMA



BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan