KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Malaysia kehilangan potensi hasil (potential output) sejumlah 5.3 juta pek beras 10 kilogram (kg) akibat bencana banjir setakat ini, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata jumlah itu memberikan kesan besar kepada bekalan beras di negara ini.
"Perlu diambil maklum bahawa tahun ini bencana sangat luar biasa dan ia memang ada membawa kesan kepada bekalan beras putih dalam negara kita.
"Setakat ini, kita telah kehilangan 5.3 juta pek 10 kg kampit beras dalam pasaran...lenyap begitu sahaja akibat banjir yang melanda negara kita," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai keberkesanan insiatif dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam menangani isu kekurangan bekalan beras putih.
Dalam pada itu, Arthur berkata KPKM menyediakan Tabung Bencana Tanaman Padi untuk memberikan bantuan kepada pesawah dalam mengurangkan kerugian dialami mereka akibat banjir.
"Pesawah layak menerima bantuan RM1,800 per hektar untuk maksimum tiga hektar bergantung kepada keluasan yang telah musnah, selain kaedah baharu yang dilancarkan Oktober lepas iaitu Agrobank Skim Takaful Tanaman Padi dengan pesawah boleh mohon bantuan sehingga RM3,000 per musim," katanya.
Beliau berkata pada tahun ini, KPKM menyediakan peruntukan RM30 juta bagi bantuan dari segi pembaikan infrastruktur yang musnah akibat banjir.
Sementara itu, Arthur berkata bagi menangani isu kekurangan beras putih, KPKM telah menambah empat langkah reformasi institusi dan industri padi beras sebagai fokus utama sekali gus melipatgandakan program Gelombang Padi.
Beliau berkata ia melibatkan pemisahan kuasa dan fungsi institusi pengurusan industri padi beras, pengenalan peraturan larangan pencampuran beras putih dan beras import, memperkukuh kawal selia penguatkuasaan serta memantapkan tadbir urus Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).
Menurut Arthur, kesemua langkah itu akan berkuat kuasa 1 Jan tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial