AM > BERITA

PRUBSN CIPTA REKOD MBOR, CATAT JUMLAH EJEN TERBANYAK SELESAIKAN PEPERIKSAAN PITO DALAM SEHARI

11/12/2024 03:43 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Prudential BSN Takaful Berhad (PruBSN) mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) dengan mencatatkan jumlah ejen terbanyak menyelesaikan peperiksaan Modul 2 Program Professionalism of Insurance & Takaful Operators Agents (PITO) dalam sehari, melibatkan seramai 4,422 perunding pengendali Takaful keluarga berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PruBSN Wan Saifulrizal Wan Ismail berkata pencapaian itu menunjukkan profesionalisme perunding takaful PruBSN dalam industri yang sedang berkembang maju, terutama dalam penjagaan kesihatan dan pelindungan kewangan.

"PruBSN telah berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebagai pengendali takaful yang mempunyai paling ramai perunding berjaya melengkapkan ujian PITO dalam masa satu hari saja dan ujian itu merupakan salah satu keperluan pensijilan profesional daripada Bank Negara Malaysia dan wajib diambil oleh semua perunding insurans dan takaful di Malaysia.

"Ujian tersebut yang dijalankan pada 15 Nov lepas bukan suatu yang mudah kerana ia memerlukan pemahaman yang mendalam dalam setiap sudut operasi kewangan, insurans dan takaful," katanya pada Majlis penerimaan sijil PITO M2 MBR dan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Prudential BSN Takaful Berhad dan Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) di sini hari ini.

Beliau berkata pencapaian sijil PITO oleh perunding PruBSN juga sejajar dengan trend semasa industri Takaful yang dinamik bagi melengkapkan perunding Takaful mereka dengan pendekatan strategik yang berorientasikan pelanggan untuk membantu mengurus keperluan kewangan dan kesihatan rakyat dengan lebih berkesan.

Wan Saifulrizal berkata selain daripada sijil profesional, pengendali Takaful keluarga terkemuka di negara ini yang kini mempunyai lebih 16,000 perunding itu, komited dalam memperkasakan perundingnya dengan tahap kemahiran dan profesionalisme yang bersesuaian.

"Pada tahun ini, syarikat telah menganjurkan lebih daripada 20 program pembelajaran dan pembangunan, melibatkan semua perunding Takaful kami di seluruh negara merentasi pelbagai tahap kemahiran, membolehkan mereka menawarkan nasihat kewangan yang lebih mendalam dan kukuh kepada pelanggan kami sambil mengekalkan kepercayaan dan kepuasan mereka.

"Tahun depan, kami merancang untuk bekerjasama dengan FPAM bagi menyediakan program sijil profesional selaras dengan komitmen kami terhadap pembangunan modal insan,” katanya.

Sementara itu, majlis berkenaan turut menyaksikan pemeteraian MoU antara PruBSN dan FPAM yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif FPAM Alex Lee. 

Pemeteraian MoU itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan eksklusif bagi menduduki peperiksaan Modul 2 PITO serta akses kepada program dalaman Perancang Kewangan Islam (IFP) yang berprestij, mulai tahun depan.

"PruBSN tetap komited untuk memperkukuhkan ekosistem bagi kekuatan agensinya dalam mempromosikan produk-produk takaful dengan melengkapkan para perundingnya dengan kemahiran dan pengetahuan yang kukuh, kami akan memperkasakan mereka untuk berjaya sebagai Perancang Kewangan Takaful atau Perunding Takaful gig.

"Misi ini bukan sahaja menunjukkan kekuatan PruBSN sebagai jenama yang dikenali tetapi juga mencerminkan tujuan utamanya untuk melindungi lebih ramai rakyat Malaysia, untuk setiap kehidupan, bagi setiap masa depan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan