AM > BERITA

PERLIS RANGKA DASAR MINERAL NEGERI

12/12/2024 09:13 PM

KANGAR, 12 Dis (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perlis melalui Bahagian Perancang Ekonomi Negeri sedang merangka Dasar Mineral Negeri yang akan menjadi asas kepada pertimbangan dan pelaksanaan perlombongan di negeri itu.

Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli berkata dasar itu akan digubal selari dengan Dasar Mineral Negara yang telah dibentangkan dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara.

“…dolomit Perlis merupakan sumber mineral terbaik dan sering mendapat perhatian ramai. Berdasarkan senario semasa, hasil daripada mineral ini hanyalah secara mentah sahaja tanpa menghasilkan produk hiliran.

“Kerajaan negeri telah memperhalusi perkara ini dan sedang dalam usaha untuk menambah baik dasar sedia ada supaya kerajaan negeri mendapat pulangan daripada hasil mineral dolomit ini,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Perlis 2025 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks DUN di sini hari ini.

Mohd Shukri berkata kerajaan negeri melalui Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) sentiasa peka dengan potensi dolomit, sehubungan itu pihak PTG secara proaktif menjalankan kajian pasaran melalui sesi temu sua bersama pelanggan dan potensi pelanggan serta pihak berkepentingan.

Beliau berkata hasil kajian pasaran melalui sesi temu sua itu, satu garis panduan yang jelas dan komprehensif untuk rujukan pihak konsesi dolomit sedia ada dan bakal dilantik telah diwujudkan.

“Antaranya adalah bagi mewujudkan industri hiliran berasaskan sumber dolomit, setiap konsesi yang telah dilantik tidak hanya tertumpu kepada penghasilan pengeluaran dolomit mentah tetapi perlu menghasilkan produk hiliran berasaskan dolomit,” katanya.

Mohd Shukri berkata ia akan memberi limpahan ekonomi kepada negeri Perlis di samping mewujudkan peluang pekerjaan ntuk rakyat negeri itu.

Menurutnya, setakat ini terdapat sembilan permohonan lesen cari gali dan tujuh lesen melombong mineral telah dinilai namun hanya lima daripada permohonan mempunyai potensi mengeluarkan produk hiliran bernilai tinggi seperti ketulan magnesium tulen dan bata tahan panas.

“Sejumlah 11 permohonan hanya berhasrat untuk mengeluarkan bahan mentah dan separa mentah serta menjadikan baja tanaman sebagai produk hiliran," katanya.

Mohd Sukri berkata kerajaan negeri juga akan menubuhkan Institut Strategik Perlisku Bestari bagi merealisasikan 20 inisiatif yang dibentangkan dalam Belanjawan Perlis 2025 yang bertemakan ‘Perlisku Bestari Berkat Lestari’. 

Beliau berkata penubuhan institut berkenaan penting untuk memastikan semua inisiatif berjalan lancar dan memenuhi aspirasi rakyat Perlis dengan keberkesanan dan impak tinggi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan