IPOH, 12 Dis (Bernama) -- Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah bersetuju dengan cadangan pewartaan lokasi penemuan fosil karang purba di Kampung Changkat Tualang, Kampar sebagai satu daripada kawasan geotapak dalam Geopark Lembah Kinta.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak Nizarulikram Abdul Rahim berkata persetujuan itu, dicapai pada Jun lepas yang kawasan terletaknya kedua-dua geotapak iaitu Lombong Batu dan Lombong Bakap di Kampung Changkat Tualang, Kampar akan diwartakan.
"Bagaimanapun, proses pewartaan ini akan mengambil sedikit masa sebelum ia secara rasmi diwartakan sebagai kawasan rezab untuk tujuan aktiviti pelancongan berasaskan geologi dan aktiviti berkaitan," katanya kepada Bernama.
Pada 22 Jan, media melaporkan penyelidik Persatuan Jurupandu Pelancong Geopark Warisan Alam Semula Jadi Perak (GEONAT) menemui fosil karang purba pelbagai spesies, dianggarkan berusia 300 juta tahun di kawasan berkenaan.
Susulan itu, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Mohd Azlan Helmi kemudian berkata kerajaan Perak akan mewartakan kawasan itu sebagai satu lagi geotapak di negeri ini.
Nizarulikram berkata kawasan tersebut mempunyai nilai saintifik, estetik, sejarah dan budaya yang boleh dijadikan tarikan pelancongan berasaskan geologi (geopelancongan) dan pihaknya akan melaksanakan aktiviti pemetaan geotapak itu dengan kerjasama Perbadanan Taman Negeri Perak pada tahun 2025 nanti.
"Kedua-dua geotapak ini sedang dalam proses pewartaan melibatkan beberapa aktiviti di antaranya pengukuran sempadan, cadangan aktiviti yang dibenarkan dan pelantikan pentadbir bagi tapak tersebut.
"Jumlah keluasan kedua-dua geotapak ialah 27.92 hektar (69 ekar) dan antara fosil purba yang ditemukan daripada jenis asalan marin iaitu Gastropoda (Siput), Rugosa (Karang) dan Crinoid yang berusia sekitar 300 juta tahun dahulu," katanya.
Nizarulikram berkata pewartaan itu penting dan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan kawasan itu diceroboh dan apabila diwartakan ia terkandung perkara-perkara tertentu yang mesti dipatuhi oleh masyarakat.
"Pewartaan bersamanya ada tertulis menyatakan apa tujuan pewartaan itu dibuat, contohnya untuk kawasan pelancongan atau aktiviti yang berkaitan dengan ekologi dan geologi, kemudian orang kampung boleh mengambil faedah daripada pewartaan itu dengan mengadakan pakej pelancongan tertentu di kawasan tersebut.
"Antara aktiviti ekologi yang boleh dilakukan ialah berkayak di tasik, memancing, ada singkapan pinakel batu-batu kapur dan di situlah terdapatnya fosil-fosil marin seperti siput dan karang purba, jadi mereka boleh bawa pelancong-pelancong yang berminat ini ke tempat itu untuk melihat fosil dan berkayak di tasik," katanya.
Selain itu, beliau berkata sekiranya kawasan itu diwartakan sebagai geotapak ia akan menambah tarikan baharu kepada Geopark Lembah Kinta yang sedia ada, kerana sebelum ini tiada lagi mana-mana kawasan geotapak berasaskan fosil marin ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial