AM > BERITA

24 PEREKA TEMPATAN TERIMA PENGIKTIRAFAN CiDE 2024

13/12/2024 12:27 AM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Seramai 24 pereka tempatan hari ini menerima pengiktirafan dalam program Certified Industrial Designer (CiDE) 2024 anjuran Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata kesemua penerima memainkan peranan penting dalam membina kesedaran masyarakat terhadap kepentingan reka bentuk sebagai alat inovasi, kelestarian serta pembangunan ekonomi.

"Anda semua adalah lambang kecemerlangan dalam bidang reka bentuk dan menjadi inspirasi kepada pereka muda di seluruh negara. Penganugerahan ini membuktikan dedikasi, kreativiti dan profesionalisme anda.

"Sebagai pereka bertauliah, anda kini memikul tanggungjawab besar untuk terus membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya sempena program Dialog MRM-Industri dan Majlis Penyampaian CiDE 2024 di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Pelaburan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Bahria Mohd Tamil, Pengarah MRM Amirul Fadhli Che Ismail, Pengerusi Jawatankuasa CiDE Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sirim Berhad Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad.

Terdahulu, Amirul Fadhli dalam ucapannya berkata program CiDE 2024 menetapkan piawaian kompetensi profesional yang tinggi bagi pereka industri termasuk bukti pengalaman kerja sekurang-kurangnya lima tahun, portfolio produk yang telah dikomersialkan dan pencapaian paten.

Sehubungan itu, beliau berkata 24 pereka berkenaan telah lulus pelbagai kriteria ketat untuk menerima pengiktirafan tersebut yang bukan sahaja untuk mengiktiraf bakat mereka tetapi juga simbol kepada masa depan yang cerah bagi industri reka bentuk di Malaysia.

"Bagi sesetengah orang, reka bentuk mungkin sekadar soal estetika tetapi bagi MRM, reka bentuk adalah lebih daripada itu. la adalah medium untuk menyelesaikan masalah, untuk memacu inovasi dan membina identiti negara.

"Lihat sahaja inovasi-inovasi hebat di Malaysia, reka bentuknya bukan sahaja mencerminkan kreativiti tetapi juga keupayaan untuk bersaing di peringkat global," katanya.

Selain itu, Amirul Fadhli berkata reka bentuk dan inovasi akan menjadi aspek penting kejayaan Malaysia dalam Kepengerusian ASEAN pada 2025.

Justeru itu, beliau menyeru pemain industri untuk membuktikan bahawa Malaysia bukan hanya pemimpin tetapi juga sumber inspirasi kepada negara lain di rantau ini. 

"Dengan dukungan Pelan Hala Tuju Reka Bentuk Negara (NDR) dan sokongan strategik MITI, saya yakin kita mampu mengangkat jenama Designed in Malaysia ke peringkat global.

"Untuk memacu pelaksanaan NDR serta bagi mendukung pelaksanaan Pusat Reka Bentuk Negara (NDC) yang dimandatkan kepada MRM, sebuah Pelan Strategi Reformasi bakal dilancarkan untuk tahun 2025," katanya. 

Amirul Fadhli juga berkata pelan itu diharap dapat memberikan gambaran lebih jelas tentang tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak yang terlibat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan