PUTRAJAYA, 16 Dis (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) giat merangka Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035 berikutan pelan sedia ada bakal berakhir hujung tahun hadapan.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata sebuah jawatankuasa khas telah dibentuk melibatkan pelbagai pihak termasuk pakar tempatan yang berpengalaman luas bagi memberi tumpuan kepada sistem pendidikan terbaik yang mampu melahirkan generasi berdaya saing dan relevan dengan keperluan masa depan.
“Kita perlu menyediakan satu pelan baharu untuk 10 tahun akan datang. Dalam erti kata lain, kita perlu menentukan apa yang akan berlaku kepada sistem pendidikan tinggi negara dalam tempoh tersebut," katanya pada sidang media Pembentangan Kad Laporan Pencapaian KPT 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata KPT bercadang untuk tidak menggunakan khidmat perunding luar dalam merangka sistem pendidikan negara sebaliknya menggunakan tenaga pakar tempatan sedia ada yang lebih tahu mengenai keperluan negara.
“Ini merupakan satu perubahan besar dalam sistem pendidikan tinggi.
"Mungkin kita boleh mengambil inspirasi daripada pelaksanaan di luar negara, tetapi keutamaan adalah kepada kepakaran tempatan. Kita merancang secara bersama dan memastikan pelan pendidikan tinggi Malaysia 2025-2035 ini memenuhi keperluan negara kita,” katanya.
Sementara itu, mengenai pencapaian KPT pada tahun ini, Zambry berkata tiada istilah puas hati sebaliknya meneruskan penambahbaikan dengan sentiasa melihat mana-mana aspek yang perlu diperkemaskan lagi atau mengambil kira idea baharu untuk diketengahkan.
“.. kerana dunia pendidikan tinggi sekarang ini terlalu dinamik dan pantas berubah, serta keperluan yang perlu kita letakkan,” katanya.
Sempena Kepengerusian ASEAN, Zambry berkata KPT akan mengemukakan cadangan menjadikan Malaysia sebagai pusat penyelidikan universiti ASEAN dalam persidangan pertubuhan itu tahun depan.
Sementara itu, berdasarkan Kad Laporan KPT 2024, kementerian itu telah mencapai lima fokus utama iaitu menyediakan bakat terbaik negara, pengukuhan ekosistem penyelidikan dan inovasi, pelaksanaan pendekatan baharu program pemindahan dan perkongsian ilmu, pengantarabangsaan pendidikan tinggi dan pemantapan ekosistem pemboleh daya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial