AM > BERITA

TINDAKAN PENGUSAHA FERI KE PULAU LANGKAWI BATAL KENAIKAN TAMBANG SANGAT TEPAT - EXCO

17/12/2024 12:57 PM

ALOR SETAR, 17 Dis (Bernama) -- Tindakan pengusaha feri membatalkan kenaikan kadar tambang feri ke Pulau Langkawi dilihat sebagai satu keputusan yang sangat tepat dan bijak dalam usaha membantu merancakkan sektor pelancongan negara khususnya di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan negeri Datuk Mohd Salleh Saidin berkata jika pengusaha feri ingin terus kekal menaikkan kadar tambang, ia pasti akan turut menjejaskan usaha kerajaan negeri dalam mempromosikan Tahun Melawat Kedah 2025.

"Apabila berita mengenai kenaikan tambang itu disiarkan, saya terus hubungi pihak pengusaha feri dan menyuarakan pandangan kerajaan negeri. Saya mohon supaya mereka pertimbang dan batalkan kenaikan harga berkenaan dan syukur mereka menyambut baik apa yang disampaikan.

"Dalam usaha merancakkan sektor pelancongan di Kedah, kita berharap semua sahabat-sahabat dalam industri pelancongan ini untuk bersama dengan kerajaan negeri dan berhati-hati sebelum membuat sebarang tindakan supaya tidak menjejaskan segala usaha yang telah dibuat bagi menarik pelancong ke negeri ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kenaikan tambang feri dari Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis.

Terdahulu beliau telah menyampaikan sumbangan pascabanjir kepada 30 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kubang Rotan dekat sini.

Sementara itu Mohd Salleh berkata beliau bagaimanapun memahami tindakan pengusaha feri untuk menaikkan kadar tambang feri yang disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya gaji pekerja yang dilihat sangat rendah dan perlu dinaikkan.

"Namun kini mereka telah mendapat perhatian daripada Menteri Pengangkutan Anthony Loke. Menteri juga ada umum mengenai pemberian subsidi diesel, jadi ia memberi berita gembira dan kelegaan kepada pengusaha feri dan saya yakin tidak akan ada kenaikan tambang apabila kerajaan pusat bantu dan sokong mereka.

"Saya yakin pengusaha feri pun mahu bantu membangunkan sektor pelancongan, contohnya mereka menyambut baik cadangan tambah feri bersaiz kecil, dan mereka bersetuju jika ada keperluan dan bersedia untuk beroperasi pada waktu malam semasa Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) tahun hadapan," katanya.

Semalam media melaporkan Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd telah menaikkan harga tiket perkhidmatan feri bagi setiap perjalanan ulang alik dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi antara RM3 dan RM10.50 bermula 1 Jan tahun depan.

Bagaimanapun syarikat itu telah membatalkan kenaikan kadar tambang bagi laluan terbabit untuk rakyat Malaysia, manakala kenaikan kadar tambang kepada pelancong asing akan diteruskan, berkuat kuasa pada 1 Jan 2025. 

Tindakan pembatalan itu dibuat selepas Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengarahkan agar keputusan tersebut ditarik balik dan turut memberi amaran kepada pengusaha feri bahawa mereka tidak layak menerima subsidi diesel jika menaikkan kadar tambang khususnya kepada warga tempatan dan pelancong domestik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan