AM > BERITA

NRES KAJI KEPERLUAN AKTA PLASTIK MENYELURUH MENERUSI KAJIAN KEBOLEHLAKSANAAN

17/12/2024 01:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk mewujudkan satu akta berkaitan plastik yang bersifat lebih menyeluruh menerusi kajian kebolehlaksanaan di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kajian ini penting kerana dasar plastik negara yang sedia ada dilaksanakan secara berpecah-pecah.

"Kadangkala, di peringkat Persekutuan, dasar kerangka (plastik) sudah menyeluruh, tetapi apabila tiba di peringkat pelaksanaan oleh Kerajaan Tempatan atau Kerajaan Negeri, tiada pendekatan yang seragam.

"Oleh itu, bagi RMK yang akan datang, kita sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menggubal sebuah akta plastik yang bersifat menyeluruh," katanya semasa sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Michael Mujah Lihan, yang meminta penjelasan mengenai komitmen kerajaan untuk mengkaji dasar sedia ada bagi memastikan Malaysia tidak terus menjadi lokasi lambakan sisa plastik dari negara-negara maju.

Oleh kerana Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memainkan peranan penting dalam pengurusan kitar semula sisa plastik, Menteri Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan bahawa pihaknya sedang memperketatkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

"Di bawah fasa kedua, kita ingin memperhalusi proses memperketatkan peraturan dan kemungkinan untuk melihat isu plastik secara menyeluruh, bukan hanya mengenai import plastik ke negara kita," katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lim Pay Hen berhubung sama ada kerajaan mempertimbangkan penggunaan 'mealworms' dalam kaedah kitar semula bagi menangani masalah pencemaran, Nik Nazmi berkata cadangan tersebut akan diteliti.

"Pendekatan kementerian adalah berasaskan dua prinsip utama, iaitu menekankan usaha ke arah sifar penggunaan plastik sekali guna serta keperluan untuk mempunyai polisi plastik lestari, memandangkan terdapat jenis plastik yang masih perlu digunakan.

"Oleh itu, kami bercadang untuk memperkenalkan polisi plastik lestari kerana kadar kitar semula di negara kita masih rendah," jelasnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan