SHAH ALAM, 17 Dis (Bernama) -- Tabung kecemasan atau dana khas perlu diwujudkan bagi membantu waris yang tidak berkemampuan membiayai bil tuntutan pengurusan jenazah termasuk di hospital swasta, kata Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari.
Anfaal berkata cadangan yang akan dikemukakan untuk pertimbangan Kementerian Kesihatan (KKM) itu antara lain bagi mempercepatkan pelepasan berkaitan tuntutan pengurusan jenazah.
Beliau berkata cadangan itu juga bagi mengelakkan insiden bayi "ditahan" dalam peti sejuk seperti yang berlaku baru-baru ini tidak berulang.
“Kita akan mengusulkan kepada KKM untuk buat polisi itu termasuk wujudkan satu tabung atau dana khas yang boleh diberikan kepada penerima bantuan khususnya waris dalam kes-kes berkenaan.
“Langkah ini juga adalah fardu kifayah kepada umat Islam khususnya dalam mempercepatkan pengurusan jenazah selepas berlakunya kematian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Wanita Berdaya Selangor (WBS) dan Future Laboratory Sdn Bhd (FutureLab) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.
MoU itu bagi tujuan pelaksanaan Program "Mentorship Strivers' Hub" yang bermula pada Nov 2024 hingga Dis 2026, iaitu program bimbingan untuk membantu 1,200 usahawan wanita di seluruh Selangor dalam meningkatkan kemahiran serta pendapatan dalam jualan.
Anfaal berkata beliau juga akan mengusulkan perkara sama kepada pengurusan zakat di negeri Selangor bagi melakukan perkara yang sama.
Mengulas perkembangan kes dakwaan sebuah hospital swasta menahan jenazah bayi kerana ibu bapa gagal menjelaskan bil, beliau berkata kerajaan negeri masih menunggu maklumat sahih daripada siasatan polis dan KKM sebelum tindakan lanjut diberikan.
Beliau berkata kedua-dua pihak iaitu waris dan hospital mempunyai hujah masing-masing, dan pihaknya akan memastikan semua hasil siasatan itu tepat sebelum mengambil tindakan seperti kaunseling.
Sebelum ini, tular menerusi media sosial kisah jenazah bayi lelaki yang didakwa ditahan dan disimpan dalam peti sejuk mayat selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta selepas bapanya tidak mempunyai wang untuk membayar bil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial