AM > BERITA

MPSepang Laksana Program Sifar Straw Plastik Di Semua Bazar Ramadan Tahun Depan

18/12/2024 06:22 PM

SEPANG, 18 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) akan melaksanakan program sifar penggunaan straw plastik dan penambahbaikan terhadap Program Bebas Plastik melibatkan penggunaan plastik sekali guna di semua bazar Ramadan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan itu tahun depan.

Timbalan Yang Dipertua MPSepang Muhamad Shah Osmin berkata pengunjung digalak membawa bekas makanan sendiri ke bazar Ramadan bagi menyokong Kempen Bebas Plastik 2025.

"Secara tidak langsung, pelaksanaan program ini dapat memberi kesedaran dan pendedahan kepada masyarakat setempat betapa pentingnya kita di dalam menjaga alam sekitar dengan menyokong kempen seperti ini," katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Penuh Ahli-Ahli Majlis MPSepang Bil 12/2024 di sini hari ini.

Muhamad Shah berkata sebanyak 12 lokasi bazar Ramadan akan dibuka melibatkan 886 petak bazar, tahun depan.

Beliau berkata lokasi bazar Ramadan itu ialah di Kip Mall, Cyberjaya, Taman Mas, Desa Pinggiran Putra, Kosmopleks, Taman Putra Perdana, Sungai Merab, Dengkil Jaya, Dengkil, Sungai Pelek, Litar Antarabangsa Sepang dan Sepang Putra.

Muhamad Shah berkata Bazar Ramadan Sepang Putra telah dibuka kembali kerana terdapat permintaan dan pertambahan penduduk di kawasan terbabit manakala Bazar Ramadan SIC adalah bazar Ramadan terbaharu diperkenalkan oleh pihak MPSepang dengan kerjasama pengurusan SIC.

“Permohonan bazar Ramadan telah dibuka secara dalam talian bermula 9 Dis lepas hingga 6 Jan depan,” katanya menambah setiap peniaga diwajibkan untuk mempunyai transaksi pembayaran tanpa tunai.

Sementara itu, Muhamad Shah berkata sempena Tahun Melawat Selangor (TMS) 2025, MPSepang sentiasa berusaha untuk meningkatkan dan menaik taraf infrastruktur di sekitar Sepang dalam usaha menarik pelancong ke daerah itu.

Beliau berkata beberapa cadangan dan inisiatif yang akan dilaksanakan antaranya penurapan beberapa jalan serta projek pemasangan lampu hiasan jenis diod pemancar cahaya (LED) di jalan sempadan antara Selangor dan Negeri Sembilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan