AM > BERITA

Dokumentari "Zheng He" Papar Hubungan Budaya Malaysia-China Sejak Zaman Dahulu

19/12/2024 09:18 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Dokumentari Zheng He terbitan Pusat Kebudayaan China, Kuala Lumpur dan Kelab Jambatan Bahasa Cina (Kuala Lumpur) melambangkan hubungan budaya yang erat antara Malaysia dengan China yang terjalin sejak zaman dahulu, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata dokumentari itu, dengan naratifnya menekankan keharmonian antara budaya dua negara, sejajar dengan usaha kementerian untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Saya yakin menerusi video ini, rakyat Malaysia akan menghargai kepentingan perpaduan dan keharmonian dalam membentuk identiti nasional yang kukuh.

"Ia juga berfungsi sebagai medium penting untuk mempamerkan Malaysia ke mata dunia sebagai negara yang mengamalkan toleransi antara kaum, hidup harmoni dan mengekalkan hubungan mesra dengan semua negara," katanya ketika berucap pada tayangan perdana Zheng He di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia menjalinkan hubungan diplomatik dengan China pada 1974 dengan wawasan berdasarkan saling menghormati dan bekerjasama yang memanfaatkan kedua-dua negara, yang kemudian berkembang melangkaui diplomasi untuk merangkumi pelbagai bidang seperti ekonomi, pendidikan, dan teknologi selain pertukaran budaya dalam tempoh lima dekad akan datang.

Bagaimanapun, beliau berkata hubungan rapat antara Malaysia dengan China sudah mula lebih awal, kira-kira 600 tahun dahulu semasa Dinasti Ming apabila hubungan diplomatik dan perdagangan terjalin dengan Kesultanan Melaka.

"Satu daripada peristiwa bersejarah pada tempoh itu ialah pelayaran Laksamana Zheng He ke rantau ini, yang memainkan peranan penting dalam membina asas kukuh untuk hubungan budaya, ekonomi dan diplomatik antara kedua-dua negara," katanya.

Aaron berkata dalam sebuah negara seperti Malaysia yang kaya dengan pelbagai etnik, budaya dan agama, prinsip Negara Bangsa berfungsi sebagai asas penyatuan yang membawa rakyat ke arah keharmonian dan kemakmuran bersama.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Jambatan Bahasa Cina (Kuala Lumpur) Tai Hsiao Hua berkata video itu mengambil masa setahun untuk disiapkan dengan penuh dedikasi dan ketelitian.

“Bersempena dengan ulang tahun ke-50 terjalinnya hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China, pelancaran dokumentari Zheng He ini mempunyai makna yang siginifikan. Ia bukan sahaja meraikan persahabatan yang telah terjalin selama lima dekad, malah turut membuka pintu kepada prospek kerjasama yang lebih cerah pada masa hadapan,” katanya.

Dokumentari Zheng He merangkumi dua episod, "Di Ambang Latar Langit Baharu" dan "Persahabatan Melangkaui Sempadan" yang diilhamkan oleh sejarah pelayaran Laksamana Zheng He ke Asia Tenggara dan dirakam di lokasi sebenar di Melaka, Pulau Pinang dan Terengganu.

Ia akan disiarkan secara dalam talian pada 8 malam esok dan 27 Dis ini melalui laman Facebook The Interview, Pusat Kebudayaan China Kuala Lumpur dan Kelab Jambatan Bahasa Cina (Kuala Lumpur).

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan